Tumpuan :
Detik Niaga

Agrobank tawar moratorium 6 bulan kepada mangsa banjir  

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Agrobank menawarkan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang terkesan akibat bencana banjir.

Pelanggan juga boleh menjadualkan atau menstrukturkan semula pembiayaan bagi membantu mengurangkan bebanan mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelan berkenaan dirangka bagi membolehkan pelanggan mengatur semula rancangan perniagaan yang mengalami kerosakan harta benda, ternakan dan ladang serta menjejaskan aktiviti pertanian.

“Pelanggan kami adalah keluarga kami dan seluruh kakitangan Agrobank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan sempena lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke Ibu Pejabat Agrobank.

Beliau berkata sebagai institusi kewangan pembangunan (IKP) yang prihatin, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan pelanggannya dilindungi dan dibantu dengan sewajarnya.

“Selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah disebabkan banjir. Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank,” katanya.

Loading...
Terkini