KUALA LUMPUR: Agrobank serius untuk memastikan status bekalan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat, serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.
Ia susulan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa bagi penamatan subsidi dan kawalan harga ayam bermula esok yang diumum kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Sehubungan itu, Agrobank proaktif menyediakan dana pembiayaan sehingga RM350,000 untuk penternak komuniti dan mikro, manakala dana pembiayaan sehingga RM5 juta turut disediakan untuk penternak kecil dan sederhana.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata Agrobank sentiasa komited untuk bekerjasama dengan KPKM dalam mencapai agenda kerajaan melalui pembiayaan modal kerja dan modal tetap kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana, serta Skim Mikro Kredit dalam bentuk pembiayaan modal pusingan buat penternak komuniti.
“Pembiayaan ini termasuk transformasi daripada reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, dengan margin sehingga 90 peratus bagi tempoh pembiayaan sehingga sembilan tahun, penternak komuniti dan mikro serta penternak kecil dan sederhana masing-masing bakal menikmati kadar keuntungan sehingga tiga peratus setahun mengikut baki bulanan.
“Matlamat program ini antara lain adalah untuk meningkatkan akses bekalan ayam secara terus daripada penternak kepada pemborong dan peruncit di pasaran.
“Program ini juga membolehkan pengusaha untuk beralih kepada teknik pemeliharaan yang lebih cekap, yang mana ia secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti ladang, mengurangkan kos pengeluaran dan akhirnya harga ayam yang berpatutan dapat ditawarkan kepada pasaran,” katanya.
Beliau berkata, Agrobank akan terus memberikan komitmen padu dan kerjasama erat dengan kerajaan melalui KPKM bagi memperkasa sektor agromakanan terutama dalam industri penternakan ayam di Malaysia demi peningkatan dan kemampanan keselamatan dan keterjaminan makanan negara.