comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Abdul Rashid Pengerusi TH baharu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tokoh korporat dan pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Anggota Lembaga dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) baharu bagi menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar.

Pelantikan itu berkuat kuasa hari ini dan diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu kenyataan hari ini.

“Sesungguhnya pengalaman luas Abdul Rashid sebagai seorang tokoh korporat amat berharga dalam meneruskan kecemerlangan TH sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia di samping membantu dalam memacu usaha pengukuhan yang sedang dan terus berjalan,” katanya.

Abdul Rashid pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari 1994 hingga 1998, selain menjadi Pengerusi Putrajaya Holdings dari 1995 hingga 2000.

Atas sumbangan kepada negara dan masyarakat, beliau turut dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.

Mengulas lanjut, menurut Dr Mohd Na’im, Ahli Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga antara enam ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Jelasnya, laporan RCI bagi Menyiasat Isu Pengurusan dan Operasi Lembaga Tabung Haji dari tahun 2014 hingga 2020 telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan.

“Pada masa sama, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Azman atas segala jasa bakti dan perkhidmatan terbaik khasnya dalam memimpin Lembaga Pengarah TH dan secara amnya semua warga TH,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman mengalu-alukan pelantikan berkenaan dan bersyukur kerana menerima tokoh yang dihormati serta berpengalaman khususnya dalam bidang perniagaan.

Beliau yakin usaha untuk memperkukuhkan TH akan diteruskan dengan pengalaman dan kepimpinan Abdul Rashid.

“Pelantikan Abdul Rashid juga diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan haji,” katanya.

Mengenai pelantikannya, Abdul Rashid merakamkan terima kasih kepada pihak kerajaaan atas keyakinan dan amanah yang diberikan bagi memimpin institusi Islam yang penting terutamanya untuk terus memperkukuh serta memartabatkan TH.

“TH juga perlu meneruskan usaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan demi kemampanan dan kelestarian masa hadapan. Semoga segala usaha yang akan dilaksanakan dengan sokongan dan dokongan semua pemegang taruh akan mendapat keberkatan dari Allah SWT,” katanya.

Loading...
Terkini