![](https://media.buletintv3.my/2023/04/TEMPLATE-CMS-PP-2023-04-25T190948.994.jpg)
KUALA LUMPUR: Bursa aset digital yang dikawal selia, Luno, hari ini mengumumkan pelantikan Aaron Tang sebagai Pengurus Besar Asia Pasifik berkuat kuasa pada 15 Mei, 2023.
Beliau akan menggantikan David Low yang melepaskan jawatan disandang sejak Ogos 2018 untuk berehat sementara daripada kerjaya tersebut.
Dalam kenyataannya, Luno berkata Tang sebelum ini menggalas tugas sebagai pengurus negara Luno Malaysia sejak Ogos 2019.
“Jawatan beliau akan diambil alih oleh Scarlett Chai berkuat kuasa serta-merta yang sebelum ini bertugas sebagai ketua pemasaran dan perkongsian pada 2019-2021 dan seterusnya sebagai pengurus pemasaran sejak Julai 2021,” katanya.
Menurut Luno, Low merupakan perintis dalam ruang aset digital dan berperanan penting dari segi berkongsi nasihat mengenai aspek kepercayaan serta kawal selia berkaitan ruang mata wang kripto sejak Mac 2018.
“Peraturan mengenai mata wang kripto kemudiannya telah diperkenalkan oleh kerajaan pada Januari 2019 yang menyaksikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai pihak berkuasa yang menyelia.
“Low juga telah menerajui usaha pengembangan Luno di peringkat serantau dari Malaysia dengan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa dan melancarkan perniagaan Luno di pasaran Asia Pasifik yang lain,” katanya.
Sebagai pengurus besar Asia Pasifik, Tang bertanggungjawab dalam aspek strategi menyeluruh operasi pasaran Luno di peringkat serantau, kata Luno.
Beliau juga berperanan dalam usaha pengembangan di pasaran penting di serata rantau Asia Pasifik serta membangunkan kerjasama kukuh antara dunia kewangan tradisional dengan dunia aset digital secara selamat dan dikawal selia.
Sejajar dengan peranannya sebagai antara bursa digital yang dikawal selia di Malaysia, Luno menyimpan lebih daripada RM1.2 bilion dari segi nilai bagi pihak pelanggannya di sembilan aset digital yang diluluskan di Malaysia. — BERNAMA