comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

9 firma Malaysia dalam senarai syarikat kecil, sederhana berprestasi tinggi Forbes Asia

Foto: NSTP 

KUALA LUMPUR: Sembilan syarikat Malaysia menjadi antara 200 Syarikat Terbaik Bawah Satu Bilion Forbes Asia tahun ini.

Syarikat berkenaan ialah Frontken Corp Bhd, Greatech Technology Bhd, Harbour-Link Group Bhd, Kim Loong Resources Corp Bhd, QES Group Bhd, Scicom (MSC) Bhd, Thong Guan Industries Bhd, Uchi Technologies Bhd dan ViTrox Corp Bhd.

Senarai terkini itu menampilkan 200 syarikat senaraian awam di rantau Asia Pasifik dengan pendapatan di bawah AS$1 bilion (RM4.57 bilion) yang telah menunjukkan pertumbuhan yang stabil dalam pendapatan dan keuntungan mereka.

Forbes berkata, senarai tahunan 2023 itu mengiktiraf 200 syarikat dagangan awam kecil dan sederhana di rantau ini yang mencatatkan prestasi kukuh meskipun berdepan cabaran global yang sukar seperti inflasi dan peningkatan kos pembiayaan.

Ia berkata, syarikat yang paling menonjol bagi tahun ini lebih tertumpu dalam industri berkaitan pengeluaran cip.

Katanya, permintaan untuk semikonduktor, yang terdapat dalam barangan harian seperti telefon pintar, peralatan dan kereta, melonjak dalam tempoh tiga tahun yang lalu dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pantas.

“Prestasi terbaik lain dalam senarai kami termasuk syarikat penyelesaian teknologi maklumat (IT) yang menyokong transformasi digital penjagaan kesihatan, logistik dan pembuatan serta industri lain,” katanya.

Sementara itu, Forbes berkata, perniagaan yang bergantung pada perbelanjaan pengguna, seperti restoran, hiburan dan sukan terus mengalami peningkatan dalam jualan berikutan sekatan COVID-19 semakin reda.

Ia berkata, senarai tahun ini itu termasuk 58 syarikat yang kembali dari tahun sebelumnya.

Loading...
Terkini