Oleh: Afrina Romzi
SHAH ALAM: Jelajah Belanjawan 2024 yang berakhir hari ini di seluruh negara menyaksikan kerajaan mengadakan pertemuan bersama sekitar 8,000 pihak berkepentingan dan menerima lebih 10,000 maklum balas melalui portal.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim, berkata Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan semua maklum balas yang diterima untuk dinilai dan diperhalusi bagi pembentangan pada 13 Oktober depan di Dewan Rakyat.
“Kita akan memberi pertimbangan yang setara kepada semua. Daripada situ, pasukan Belanjawan 2024 akan membuat perincian tentang keutamaan dan fokus kerajaan yang kita akan ambil sebagai garis panduan,” beliau berkata kepada pemberita pada Jelajah Belanjawan 2024 Selangor hari ini.
Antara yang memberi maklum balas termasuk daripada kerajaan negeri, wakil rakyat, penjawat awam, sektor swasta, badan bukan kerajaan serta individu.
Bagaimanapun, kerajaan tidak dapat melaksana setiap cadangan kerana ia perlu mengambil kira banyak faktor. Ini merangkumi perbezaan keperluan untuk memenuhi sektor tertentu serta permintaan yang bercanggah dengan keperluan.
Mengulas mengenai Cukai Barangan Mewah yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, Sim menjelaskan, kerajaan masih melaksanakan konsultasi bersama pemegang taruh dan pihak industri termasuk pelancongan, peruncitan dan barangan kemas, bagi memastikan ia tidak memberi kejutan kepada pasaran.
“Setakat ini masih dalam perancangan. Kita tidak mahu memperkenalkan satu cukai baharu dengan terburu-buru. Kalau belum ada satu kata putus yang membolehkan kita melaksanakan cukai dengan cekap, maka kita akan ambil masa sedikit.
“Kita mahu pastikan apabila kita laksana cukai ini nanti, ia bukan sahaja tidak mengejutkan pasaran, tetapi boleh dilaksana dengan cekap supaya hasil negara boleh meningkat,” jelas beliau.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Jemaah Menteri laksana sesi libat urus Belanjawan 2024 pertengahan bulan ini
- MOT cadang dana pembangunan maritim diteruskan dalam Belanjawan 2024
- Belanjawan 2024: Sabah dijangka terima peruntukan besar untuk pembangunan
- MOF lanjut tempoh cadangan Belanjawan 2024 sehingga 22 September
- MOF teliti maklum balas, cadangan berkaitan Belanjawan 2024