comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

6 penanda aras Ekonomi Madani capai sasaran, fokus tertumpu kepada daya saing – Penganalisis 

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif MINDA-UKM, Prof. Tan Sri Noor Azlan ketika sidang media Setahun Ekonomi Madani dan Transformasi Ekonomi Bumiputera di UKM, Bangi.

Oleh: Suzila Idayu Yaacob 

BANGI: Enam daripada tujuh penanda aras kerangka Ekonomi Madani berada di landasan tepat dalam memastikan dasar ekonomi 10 tahun itu dapat dicapai.

Menurut Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif MINDA-UKM, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, enam sasaran itu termasuk mencapai saiz ekonomi Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia, pendapatan buruh membentuk 45 peratus daripada jumlah pendapatan dan kadar penyertaan wanita sebanyak 60 peratus.

Selain itu, pelaksanaan untuk mencapai sasaran kerajaan bagi indeks pembangunan manusia di tangga 25 teratas dunia, indeks persepsi rasuah di tangga 25 teratas dunia serta indeks fiskal mencapai 3.0 peratus atau lebih rendah menunjukkan prestasi yang baik.

Bagaimanapun, katanya, fokus kini perlu mengembalikan semula kedudukan Malaysia dalam daya saing global, iaitu di tangga ke-12 teratas dunia menjelang 2033.

“Sasaran yang diletakkan oleh kerajaan masih jauh lagi tetapi kesemuanya berada di landasan tepat cuma sasaran kedua yang menjadi masalah.

“Sasaran kedua ini amat penting dalam memastikan Malaysia menjadi lokasi pilihan bukan sahaja untuk pelabur antarabangsa, malah pelabur dalam negara,” katanya pada sidang media Setahun Ekonomi Madani dan Transformasi Ekonomi Bumiputera di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Jelas beliau, tindakan lebih agresif diperlukan memandangkan tren untuk kembali ke tahap terbaik yang pernah dicapai negara sebelum ini masih kabur.

Malaysia berada di kedudukan ke-34 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024.

Kedudukan itu menjadikan Malaysia turun tujuh tangga daripada kedudukan ke-27 tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini