Oleh Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 peratus projek perumahan swasta di Kelantan menghadapi masalah lewat dan sakit.
Daripada 86 projek perumahan di negeri itu, 40 projek perumahan berada dalam kategori sakit, manakala tiga lagi projek didapati lewat.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata “Jadi untuk masalah di negeri Kelantan yang ketika ini 50% projeknya bermasalah, maka insyallah minggu ini memang kita sudah maklumkan kepada kerajaan negeri, kita mohon untuk adakan satu pertemuan bagi meneliti perkara ini. mengambil kira walaupun jumlah keseluruhan projek itu hanyalah 86 tetapi bila separuh daripada projek itu bermasalah, maksudnya kalau kita beli rumah dekat Kelantan tu chances untuk projek bermasalah itu 50:50, sangat membimbangkan.”
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.
Sehingga 30 April 2023, sebanyak 141 projek lewat, 481 projek sakit serta 112 projek terbengkalai telah dikesan du seluruh negara.
Setakat ini, 118 projek perumahan swasta telah berjaya dipulihkan sehingga menerima sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC).
Daripada jumlah tersebut, 20 projek berjaya dipulihkan untuk tempoh 31 Mac 2023 hingga 30 April 2023 lalu dengan nilai pembangunan kasar RM2.722 billion.