Tumpuan :
Detik Niaga

48 PMKS disasar untuk disenarai di Bursa Malaysia dalam 5-10 tahun

Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick. – Foto: NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mensasar 48 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk disenarai di Bursa Malaysia dalam lima hingga 10 tahun.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata 48 PMKS itu telah berjaya mencapai penarafan empat hingga lima bintang dalam Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang.

“Saya lihat akan ada dua tiga syarikat yang akan disenaraikan (di Bursa Malaysia) pada tahun hadapan, dan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan penerapan SCORE empat hingga lima bintang, tidak mustahil kesemua 48 syarikat dalam tempoh 10 tahun akan ke Bursa Malaysia,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan dana fasilitasi program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti hari ini.

Program Rintis Pemangkin PMKS SCORE 5 Bintang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia bertujuan menggalakkan PMKS disenaraikan syarikat di Bursa Malaysia dan meningkatkan modal dan profil mereka dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Beliau juga yakin prestasi PMKS akan lebih baik tahun ini, sekaligus berpotensi memberi sumbangan lebih tinggi kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), daripada 11.6 peratus tahun lalu.

“Dengan adanya program iTEKAD yang membawa usahawan-usahawan baharu termasuk daripada golongan asnaf, akan menyumbang kepada aktiviti ekonomi negara kita dan seterusnya menyumbang kepada KDNK. Pada masa sama, terdapat syarikat PMKS, syarikat sederhana misalnya yang juga akan beralih kepada syarikat multinasional yang akan disenaraikan di Bursa saham,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail berkata SME Bank memperuntukkan dana fasilitasi bernilai RM1.24 juta kepada 249 orang peserta Program SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti tahun ini.

Program ini menawarkan kemahiran, alatan dan sokongan yang diperlukan kepada peserta untuk memmbangunkan perniagaan mereka. Ia juga bermula sebagai tindak balas pantas untuk membantu usahawan PMKS semasa pandemik pada 2020.

“Kini, SME Bank iTEKAD Penjana Komuniti telah memanfaatkan lebih 700 orang usahawan mikro B40 dan lebih RM4.6 juta sudah diperuntukkan bagi dana fasilitasi dan program bimbingan keusahawanan,” katanya.

Empat objektif utama sudah dikenal pasti untuk menyediakan peserta dengan pengetahuan untuk mencapai perniagaan yang mapan, termasuk memperkemas proses pendaftaran perniagaan, diikuti dengan pelaksanaan strategi pemasaran dan sistem perakaunan digital, serta penyepaduan gerbang pembayaran untuk mengoptimumkan operasi perniagaan.

Loading...
Terkini