KUALA LUMPUR: Sejumlah 4.5 juta kereta PERODUA berada di jalan raya Malaysia sejak 1994 hingga Jun tahun ini, menjadikan ia antara penyumbang utama dalam perkembangan sektor automotif negara hampir tiga dekad lalu.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA menjadi jenama pilihan Malaysia sejak 2006 hingga kini membabitkan aspek jualan.
Katanya, daripada jumlah itu, model paling laris dalam sejarah penubuhan syarikat pengeluar kereta kompak nasional itu adalah Perodua Myvi membabitkan 1.4 juta unit, diikuti Kancil sebanyak 708,527 unit dan Axia 611,787 unit.
“Pada tahun ini pula, PERODUA menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 330,000 unit kenderaan dan menjual 314,000 unit.
“Setakat Januari hingga Jun tahun ini, kami mengeluarkan 153,813 kenderaan, iaitu peningkatan 17 peratus berbanding 131,641 unit dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.
“Peningkatan pengeluaran ini membolehkan kami menjual 144,690 kenderaan bagi separuh pertama tahun ini berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh sama pada 2022. Kami yakin prestasi Julai hingga Disember tahun ini juga akan lebih baik kerana jumlah hari bekerja lebih banyak berbanding suku pertama dan kedua tahun ini,” katanya kepada BH.