Oleh: Amanda Lopez
PUTRAJAYA: Sebanyak 371 projek perumahan membabitkan 46,139 unit telah berjaya dipulihkan dengan RM44.59 bilion nilai pembangunan kasar (GDV) dari 1 Januari sehingga 30 September lalu.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, jumlah itu merangkumi 348 projek yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), 17 projek yang berstatus lewat kembali menjadi lancar dan 6 projek terbengkalai dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC/CFO dan kaedah penyelesaian pembeli.
“Dalam tempoh berakhir September ini, KPKT sekurang-kurangnya baki yang kena kejar untuk mencapai sasaran sama pencapaian tahun lepas adalah 81 projek lagi. KPKT ada tiga bulan lagi..tempoh itu masih panjang untuk diusahakan. Kalau dari sudut GDV, KPKT dah pun RM4.78bilion melebihi daripada pencapaian akhir tahun yang lepas” kata beliau ketika mengumumkan prestasi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) KPKT pagi tadi.
Tahun lalu, pasukan task force KPKT telah berjaya menyelesaikan sebanyak 452 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai melibatkan 53,697 unit rumah dengan nilai GDV RM39.14bilion.
Sehingga 30 September 2024, sebanyak 33 projek telah dilawati oleh Datuk Aiman Athirah, di mana lapan projek telah berjaya memperoleh CCC.
“Selebihnya berdasarkan pemantauan saya tahun ini semua yang kita lawat itu akan dapat CCC menjelang akhir tahun ini. Itulah yang nak disebutkan apabila kita membuat pemantauan ke bawah banyak yang kerajaan dapat selesaikan, tetapi kita memerlukan masa yang lebih untuk membuat lawatan tapak.” tambahnya.
KPKT turut mengalu-alukan kerjasama daripada Jabatan, Agensi dan Badan Berkanun yang berminat untuk bersama-sama dalam usaha memulihkan projek perumahan swasta terbengkalai.
“Selepas ini pun kita ada satu mesyuarat khas, satunya untuk Hektar Gombak yang keduanya untuk mesyuarat khas untuk melihat khusus kepada 113 projek terbengkalai itu supaya kita boleh intervensi satu per satu.”
Manfaat juga diraih daripada Dana Jaminan Khas berjumlah RM1bilion di bawah Belanjawan 2024.
“Maknanya pemaju-pemaju tersebut mesti ada keupayaan untuk menyelesaikan hutang atau keperluan kewangan yang mereka perlukan untuk menyelesaikan satu projek perumahan. Kerajaan hanya bersedia berikan jaminan untuk mereka mendapat bantuan daripada institusi-institusi kewangan yang sedia ada.”
“Salah satu yang kita memang bantu adalah pemaju hartanah Hektar Aneka Sdn Bhd, untuk pembeli Residensi Hektar Gombak. Tapi biar kami mesyuarat dulu ada beberapa perkara yang mesti disantuni dan dihalusi.” jelasnya.
Residensi Hektar Gombak adalah satu Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang sepatutnya diserah kunci 19 Mac lalu selepas diberi masa tambahan.
Dilaporkan, pembeli sepatutnya mendapat kunci Mei 2023 tetapi dimaklumkan terpaksa ditangguh akibat pandemik.
Dalam pada itu, beliau berkata TFST akan terus diperkasa kerana kerajaan percaya ia adalah medium utama untuk menyelesaikan isu berbangkit yang telah menjejaskan isu perumahan dan pada masa sama untuk mengemukakan cadangan penyelesaian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.