SHAH ALAM: Bermula esok rakyat di negeri Selangor berpeluang menikmati penjimatan sebanyak 30 peratus bagi lima produk makanan asas iaitu ayam, telur, daging, beras dan minyak masak sempena Jualan Mega Ehsan Aidilftri anjuran Kerajaan Negeri Selangor.
Jualan murah barangan asas itu dianjur di beberapa lokasi menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selaku penganjur utama, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah).
Exco Infrastruktur Dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata jualan mega ini diadakan di 23 lokasi dalam jangka masa tersebut (15 hingga 20 April). FAMA Selangor akan menganjurkan jualan di 11 lokasi, manakala PKPS dan KoHijrah masing-masing mengendalikan enam lokasi.
“Jualan bermula hujung minggu ini juga menawarkan kuantiti barangan lebih banyak termasuk lebih 36,000 ekor ayam berbanding penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat
(JER) pada hari biasa,” katanya.
Menurutnya lagi jualan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.5 juta dengan subsidi berjumlah RM375,000 daripada Kerajaan Negeri akan disalurkan kepada tiga
agensi ini mengikut jumlah barangan yang dijual.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi pula berkata program ini adalah
kesinambungan Program JER yang telah dilaksanakan PKPS sejak September tahun lalu.
“Alhamdulillah program JER ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dimana produk segar habis terjual di hampir semua lokasi jualan.
Justeru itu kami berusaha untuk mendapatkan stok produk segar yang lebih banyak bagi membantu meringankan beban rakyat B40 di negeri Selangor,” katanya.