WASHINGTON: Bank Dunia melaporkan sejumlah 26 negara termiskin di dunia kini berada dalam situasi kewangan yang lebih teruk sejak 2006.
Senarai 26 negara itu termasuk Burundi, Malawi, Congo, Burkina Faso dan Uganda dengan kadar hutang yang mencapai rekod tertinggi dalam tempoh 18 tahun susulan terdedah dengan krisis bencana.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada Ahad, kumpulan negara itu merupakan tempat tinggal bagi 40 peratus penduduk paling miskin di dunia, kini lebih miskin secara purata berbanding sebelum pandemik COVID-19, walaupun sebahagian besar negara-negara lain telah pulih dan kembali kepada trajektori pertumbuhan.
Laporan berkenaan dikeluarkan seminggu sebelum mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Washington, dan ia menandakan kemunduran besar dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar.
Laporan tersebut mendedahkan usaha Bank Dunia pada tahun ini untuk mengumpul dana sebanyak AS$100 bilion bagi mengisi semula tabung pembiayaannya bagi negara-negara termiskin melalui Persatuan Pembangunan Antarabangsa (IDA).
Negara-negara termiskin yang dikaji dalam laporan ini, yang mempunyai pendapatan per kapita tahunan kurang dari AS$1,145, kini semakin bergantung kepada geran IDA dan pinjaman kadar faedah hampir sifar kerana pembiayaan pasaran semakin berkurangan.
Nisbah hutang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) purata negara-negara itu ialah 72 peratus, dan merupakan rekod tertinggi dalam tempoh 18 tahun, dengan separuh daripada kumpulan itu sedang menghadapi tekanan hutang.
Laporan berkenaan turut mendedahkan dua pertiga daripada 26 negara termiskin itu sedang menghadapi konflik bersenjata atau mengalami kesukaran dalam mengekalkan kestabilan institusi dan sosial, sekali gus menghalang pelaburan asing.
Ketua Ekonomi Bank Dunia, Indermit Gill berkata hampir semua negara itu bergantung kepada eksport komoditi, menjadikan mereka terdedah kepada kitaran ekonomi yang tidak menentu.
“Pada masa dunia meninggalkan negara-negara termiskin ini, IDA telah menjadi talian hayat mereka.
“Dalam tempoh lima tahun yang lalu, IDA telah mencurahkan sebahagian besar sumber kewangannya kepada 26 ekonomi berpendapatan rendah ini, membantu mereka bertahan daripada cabaran sejarah yang mereka alami.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.