comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

149 projek perumahan swasta sakit pulih, babitkan GDV RM15.2 bilion 

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada sidang media berhubung status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai

Oleh: Suzila Idayu Yaacob 

PUTRAJAYA: Sebanyak 149 projek perumahan swasta yang sakit di seluruh negara telah berjaya dipulihkan setakat 31 Mei 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia membabitkan 17,436 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM15.2 bilion.

“Untuk tracking projek lewat, sakit dan terbengkalai ini angkanya dinamik sungguhpun kalau kita lihat contoh tadi projek sakit penurunan itu secara besarnya 481 turun ke 471 tetapi sebenarnya dalam tempoh yang sama kita telah berjaya pulihkan 31 projek, iaitu 28 projek perumahan telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) manakala tiga lagi kembali lancar mengikut jadual pembinaan,” katanya pada sidang media berhubung status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai.

Setakat 31 Mei lalu, Jawatankuasa Bertindak Projek Perumahan Swasta yang ditubuhkan pada Disember 2022, turut mengenalpasti 124 projek lewat serta 112 projek terbengkalai.

Justeru, jawatankuasa berkenaan giat mengadakan sesi libat urus bersama agensi berkaitan termasuk syarikat utiliti serta institusi perbankan untuk menyelamatkan projek terbabit.

“Jawatankuasa ini sentiasa bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan urusan dengan kementerian (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) termasuk agensi berkaitan bagi tujuan mempercepat proses penyiapan dan perolehan CCC,” katanya.

Sebelum ini, beliau menyatakan Kelantan antara negeri paling tinggi menghadapi masalah perumahan yang dikategorikan sebagai projek lewat dan sakit.

Loading...
Terkini