comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

140 penyedia penyelesaian AI tempatan telah menjana RM1 bilion

Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Sidang Kemuncak Penerimagunaan Teknologi MD: AI hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyokong 140 penyedia penyelesaian tempatan dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI) Digital Malaysia (MD) sejak Ogos 2023.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata syarikat-syarikat ini telah menjana hasil RM1 bilion, diterajui sektor perkhidmatan, kewangan dan bandar digital.

“Pencapaian ini menunjukkan kepentingan peranan AI dalam transformasi ekonomi Malaysia.

“AI sedang membentuk semula landskap perniagaan, daripada meningkatkan produktiviti dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada meningkatkan kecekapan dalam syarikat besar,” katanya pada Sidang Kemuncak Penerimagunaan Teknologi MD: AI, hari ini.

Tambah beliau, MDEC dan Dattel Asia Group melancarkan platform MyDataHub.Ai pada Jun lalu untuk membantu PKS mendapat akses kepada RM150 juta pembiayaan.

Dalam masa tiga bulan, platform ini telah menjangkau lebih 10,000 PKS. Sebanyak 3,613 telah menyatakan minat untuk menggunakan platform MyDataHub.Ai, manakala 372 PKS telah melengkapkan kemasukan mereka.

MyDataHub.Ai menghubungkan perniagaan dan rakan kongsi. Selain akses kepada pilihan pembiayaan, platform ini membenarkan pertukaran data dan strategi.

Menurut MDEC dalam satu kenyataan, teknologi-teknologi baharu seperti AI generatif dijangka menyumbang sebanyak AS$113.4 bilion kepada peningkatan kapasiti produktiviti negara menjelang 2030.

AI sekaligus dijangka membawa impak ekonomi yang transformatif kepada Malaysia dengan anggaran sumbangan sehingga AS$1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau ini menjelang 2030.

Ia bukan sahaja membentuk pengalaman peribadi pelanggan, malah mengoptimumkan rantaian bekalan dan menambahbaik proses membuat keputusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini