comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

12,000 kertas siasatan dibuka, RM72 juta dana dibekukan

Oleh: Amanda Lopez

KUALA LUMPUR: Bank Negara mengesahkan 16 institusi kewangan negara telah menyertai Portal Fraud Kebangsaan (NFP) dan banyak lagi institusi akan menyusul dalam masa terdekat.

Gabenor, Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour turut mendedahkan bahawa dalam tempoh kurang dua tahun, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah membuka lebih 12,000 kertas siasatan membabitkan pelbagai penipuan siber.

Kata beliau, tindakan lain turut meliputi pembekuan RM72 juta daripada akaun yang dikenal pasti melalui perintah penguatkuasaan polis.

“Penjenayah siber akan terus-menerus mengeksploitasi teknologi untuk mengembangkan taktik mereka. Lantas, NSRC juga perlu mengorak langkah menggunakan pendekatan dipacu teknologi bagi mengatasi kesemua ancaman ini” kata beliau pada ucapan pembukaan perasmian Portal Fraud Kebangsaan (NFP) oleh Menteri kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Jelas-nya, operasi NSRC kini juga dilengkapi keupayaan automasi menyeluruh yang membolehkan perkongsian amaran awal dalam kalangan institusi kewangan.

Bank Negara juga akan terus membuat penyesuaian dan memajukan strategi untuk mengatasi ancaman masa depan.

NFP yang memanfaatkan infrastruktur guna sama PayNet ini menyediakan data pembayaran yang berwibawa untuk operasi NSRC bagi memudahkan pengesanan dan analisis dana.

Menurut Global Anti-Scam Alliance, kerugian kewangan akibat penipuan di seluruh dunia telahpun melebihi AS$1 trilion pada tahun 2023.

Kata beliau, di Malaysia, data menunjukkan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa penipuan kewangan secara keseluruhan boleh dikatakan agak kecil berbanding jumlah transaksi kewangan domestik.

Namun, katanya Malaysia tidak boleh leka tetapi perlu lebih peka dalam mengenal pasti dan mengatasi ancaman ini, bagi memastikan keyakinan ke atas sistem kewangan negara sentiasa terpelihara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini