Tumpuan :
Detik Niaga

12 syarikat pembuatan Mesir berminat teroka pelaburan dalam 4 sektor di Malaysia

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: 12 syarikat pembuatan terkemuka di Mesir berminat untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia.

Ia membabitkan empat sektor iaitu farmaseutikal, peranti perubatan, aeroangkasa dan petrokimia.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, wakil syarikat pembuatan itu menyatakan minat mereka ketika menyertai sesi meja bulat yang diadakan di sini.

Ia sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir yang berakhir semalam.

“Mesyuarat meja bulat yang diadakan secara tertutup ini dihadiri kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan daripada 47 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan dari Mesir.

“Mesyuarat ini juga berupaya menghasilkan potensi eksport bernilai RM4.8 bilion. Ini menunjukkan peluang perdagangan yang besar, khususnya dalam sektor inovasi bernilai tinggi yang ditetapkan mengikut Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030,” katanya pada sidang media pada hari terakhir lawatan Perdana Menteri di sini, semalam.

28 syarikat industri bernilai tinggi termasuk dalam sektor automotif, kimia dan oleokimia, makanan, produk berasaskan minyak sawit, penjagaan peribadi, tenaga boleh diperbaharui, logistik, kewangan dan pembinaan turut hadir pada sesi meja bulat itu.

Semua syarikat itu kini mengimport barangan dan perkhidmatan dari Malaysia bernilai RM505.2 juta.

Katanya, wakil syarikat yang hadir pada sidang meja bulat itu turut menyatakan minat mereka memperoleh pelbagai produk dan perkhidmatan daripada pembekal Malaysia.

“Barangan itu termasuk alat ganti dan komponen automotif, minyak sawit, minyak dan lelemak makan, oleokimia, bahan pencuci, bahan kimia khas, panel solar dan inverter, bahan binaan serta produk makanan dan minuman,” katanya.

Mesyuarat meja bulat itu turut dihadiri 20 syarikat Malaysia yang menyertai lawatan rasmi Perdana Menteri ke Mesir sebagai delegasi perniagaan.

“Pada masa sama, kita membuka semula sepenuhnya pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Kaherah pada Januari lalu dan kedudukan strategik Mesir sebagai pusat perdagangan di Afrika Utara dan rantau Arab mampu menawarkan potensi yang besar kepada syarikat Malaysia,” katanya.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) tambahnya akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan bagi melonjakkan ekonomi negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini