comscore
Tumpuan :
Bencana

Penduduk Rayu Baiki Sistem Perparitan, Dalamkan Sungai Skudai

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) meninjau keadaan parit yang didakwa tidak sempurna yang menjadi antara faktor fenomena pertembungan air pasang dipercayai antara punca banjir kilat kerap berlaku di sekitar kawasan Kampung Laut, Batu 10, Skudai.

Oleh Raja Nurul Antasha Raja Zaman

SKUDAI: Akibat Sungai Skudai yang semakin cetek dan sistem perparitan yang tidak sempurna, selain faktor alam hujan lebat berterusan serta fenomena pertembungan air pasang dipercayai antara punca banjir kilat kerap berlaku di sekitar kawasan Kampung Laut, Batu 10 di sini.

Sehubungan itu, penduduk merayu pihak berwajib menyelesaikan segera isu perparitan, selain melaksanakan kerja-kerja mengorek dan mendalamkan sungai itu bagi menangani masalah banjir kilat.

Menurut penduduk Kg. Laut, Zulkifli Mat Ahwan, 43 yang telah tinggal di kampung itu sejak lahir, sekurang-kurangnya dua kali kejadian banjir berlaku di kampung itu setiap tahun.

Katanya, kejadian banjir kilat semalam menyebabkan rumahnya dinaiki air setinggi kira-kira dua meter.

“Kalau boleh sungai tu (Sungai Skudai) kalau dapat didalamkan, baru kurang sedikit banjir tu. Sungai tu pun dah lama tak korek itu jadi tohor air cepat naik. Kalau dalamkan sungai tu mungkin jarang sikit berlaku banjir. Memang saya harapkan perkara itu dilakukan pihak berkenaan segera.” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ibrahim Sujimun, 27 berkata banjir kilat semalam telah menyebabkan lantai bilik stor yang menempatkan kesemua barangan telah roboh, selain empat kenderaan miliknya dimasuki air.

“Dua kereta dan dua motosikal, semuanya habis ditenggelami air akibat banjir kilat semalam. Selain itu pelbagai dokumen dan juga barangan rumah turut musnah.

“Tahun ini je dah dua kali dah banjir tapi semalam paling teruk. Penat tapi nak buat macam mana kan terpaksalah hadap. Saya berharap sangat kalau pihak  kerajaan negeri ada jalan penyelesaian untuk isu ini,” katanya serta menjelaskan sebahagian daripada struktur rumahnya turut musnah.

Dalam kejadian banjir kilat malam tadi, seramai 43 penduduk Kampung Laut Batu 10 dipindahkan ke PPS Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10.

Loading...
Terkini