Tumpuan :
Bencana

Jambatan runtuh di Brazil, seorang maut, asid sulfurik tumpah ke sungai

AGUIARNOPOLIS: Sebuah jambatan yang menghubungkan bandar Estreito di Maranhao dan Aguiarnopolis di negeri Tocantins, Brazil, runtuh pada Ahad, menyebabkan seorang maut dan tumpahan asid sulfurik ke dalam Sungai Tocantins.

Insiden berlaku ketika kenderaan sedang melintas, dengan bahagian tengah jambatan sepanjang 533 meter itu runtuh pada waktu petang, semalam.

Jabatan Infrastruktur Pengangkutan Kebangsaan mengesahkan kejadian tersebut, manakala pihak bomba tempatan melaporkan kerosakan besar pada struktur jambatan.

Rakaman udara yang dikeluarkan menunjukkan kenderaan termasuk dua lori, sebuah kereta, dan sebuah motosikal jatuh ke dalam sungai dengan kedalaman lebih 50 meter.

Salah satu lori terlibat dipercayai membawa asid sulfurik, yang kini mencemari sungai tersebut.

"Seorang mangsa disahkan maut, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan," kata jurucakap pasukan bomba.

Pihak berkuasa juga menganggarkan sekurang-kurangnya 11 orang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Kementerian Pengangkutan telah mengesahkan kejadian dan sedang menjalankan siasatan.

Lokasi kejadian juga disahkan melalui imej satelit dan rakaman dari sumber orang awam.

Loading...
Terkini