comscore
Tumpuan :
Bencana

Fasa Peralihan Monsun Boleh Sebabkan Puting Beliung, Hujan Batu

FOTO: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Fasa peralihan monsun yang bermula, hari ini dan dijangka berterusan hingga awal atau pertengahan November, boleh menyebabkan berlakunya hujan batu dan puting beliung.

Pengarah Kanan Pusat Instrumentasi Meteorologi dan Sains Atmosfera, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang, berkata dua keadaan itu boleh berlaku, di samping ribut petir.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan itu dijangka berlaku pada sebelah petang khususnya di pantai Barat Semenanjung, kawasan Barat di Sabah dan bahagian tengah di Sarawak.

“Hasil cerapan, kita mengesan keadaan puting beliung boleh berlaku ketika fasa peralihan monsun berikutan keadaan angin lemah dan bertiup dari pelbagai arah.

“Ia kemudiannya menjadikan pembentukan awan besar yang disertakan hujan lebat dan ribut petir, manakala hujan batu pula boleh berlaku apabila keadaan awan yang cukup tinggi menyebabkan pergolakan besar.

FOTO: Berita Harian

“Puting beliung kecil ini pernah berlaku sebelum ini dan ia juga boleh menyebabkan kerosakan,” katanya ketika ditemubual Selangor FM, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ambun berkata, terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada keadaan banjir iaitu lekukan tropika, kehadiran luruan monsun dan La Nina.

Beliau berkata, pertembungan tiga keadaan itu boleh mengakibatkan banjir besar seperti yang berlaku pada Disember tahun lalu, khususnya di Selangor dan Pahang.

Selain itu, katanya, negara berdepan keadaan La Nina paling panjang ketika ini iaitu sejak pertengahan 2020 dan diramal berlarutan hingga hujung tahun ini.

“Kita dapati pengaruh La Nina iaitu suhu di permukaan laut Pasifik lebih sejuk dari biasa sehingga menyebabkan kitaran atmosfera berubah memberi kesan kepada taburan hujan negara dan menyebabkan keadaan lembap.

“Kita masih memantau keadaan ini yang mungkin berlarutan hingga hujung tahun atau awal tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, METMalaysia menyatakan, negara berhadapan dengan fasa peralihan monsun bermula hari ini hingga bulan depan, sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya sejak 14 Mei lalu. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini