comscore
Tumpuan :
Bencana

62 Lokasi Di Klang Berisiko Banjir Susulan Air Laut Pasang Besar

 

KLANG: Sebanyak 62 lokasi di sekitar daerah ini dikesan berisiko banjir susulan fenomena air laut pasang besar yang bermula bulan ini hingga Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang, Shahman Jalaludin, berkata banjir berisiko di kawasan berkenaan jika hujan berlaku ketika air pasang.

Katanya, antara kawasan berisiko tinggi itu adalah Kampung Tok Muda, Kapar; Telok Gong, Sungai Serdang dan Pulau Indah.

“Terdapat 62 kawasan di Klang yang kita kenal pasti berisiko banjir, namun ia akan berlaku sekiranya air pasang besar itu bertembung dengan air hujan.

“Seperti kita lihat semalam, walaupun berlaku air pasang besar tetapi tidak hujan dan keadaan masih terkawal.

“Apa yang kita risaukan adalah pada Oktober dan November ini kerana ketika itu hujan akan bertembung air pasang besar, sekaligus potensi berlaku (banjir) lebih tinggi,” katanya selepas meninjau ban di Jeti Pengkalan Tok Muda, hari ini.

Shahman berkata, berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh bulan ini hingga Februari 2023 yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), Selangor dijangka menghadapi peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut.

Katanya, peralihan monsun itu dijangka membawa peningkatan jumlah penerimaan hujan antara 100 hingga 400 milimeter secara purata mulai pertengahan bulan ini, seterusnya berisiko berlakunya bencana banjir.

“Pada tempoh sama, fenomena air pasang besar dijangka berlaku di kawasan pesisir laut sepanjang Pelabuhan Klang. Berdasarkan ramalan dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional di Pulau Indah, paras air laut tertinggi dijangka mencapai paras 5.5 meter.

“Kedua-dua fenomena ini boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke sekitar kawasan penempatan dan membawa risiko banjir di kawasan penempatan penduduk,” katanya.

Susulan itu, Shahman meminta mereka yang tinggal berdekatan atau terdedah dengan kawasan berisiko untuk sentiasa peka dengan situasi cuaca dan mematuhi arahan sekiranya diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa.

Katanya, jawatankuasa itu turut merangka pelaksanaan program pemerkasaan komuniti seperti menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) membabitkan pelbagai peringkat komuniti setempat.

“Pasukan CERT ini akan diberi latihan dan kemahiran asas pengurusan bencana peringkat komuniti oleh agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan polis yang akan dilaksanakan pada Ahad ini di Taman Sri Muda, manakala 24 dan 25 September di Pulau Ketam,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini