Dalam era teknologi yang semakin canggih, media sosial telah menjadi platform penting bukan sahaja bagi golongan muda, tetapi juga bagi warga emas. Walaupun ramai yang mengganggap media sosial sebagai alat untuk berkongsi gambar dan video, namun bagi warga emas ia membawa makna yang lebih mendalam. Media sosial menyediakan saluran untuk mereka berhubung, belajar perkara baru, dan mencari sokongan emosi yang sangat diperlukan yang mana ia adalah penting untuk menjaga kesejahteraan kendiri. Dengan memanfaatkan media sosial secara bijak, ia mampu meningkatkan kualiti hidup warga emas dan mengurangkan rasa kesunyian melalui seni kehidupan digital.
Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Malaysia sedang menuju ke arah menjadi negara tua di mana status tersebut akan dicapai menjelang tahun 2030. Fenomena ini menekankan kepentingan warga emas dalam penggunaan media sosial, yang semakin meningkat di Malaysia seiring dengan perkembangan teknologi serta kesedaran mengenai kemudahan mengakses platform digital. Selain itu, platform seperti Facebook, WhatsApp, dan YouTube yang memerlukan pengendalian mudah menjadi pilihan utama warga emas untuk terus berhubung dan mendapatkan maklumat terkini.
Manfaat Media Sosial kepada Warga Emas
Warga emas dapat kekal berhubung dan berkomunikasi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka berkat dari kemudahan platform seperti Facebook and Telegram. Hal ini membolehkan mereka menjaga hubungan persaudaraan walaupun berjauhan antara satu sama lain. Peningkatan dalam penggunaan penggilan video juga mewujudkan interaksi yang lebih bermakna dengan tatapan wajah-wajah tersayang serta perbualan menjadi lebih dekat dan bererti bagi mereka.
Secara lazimnya, warga emas menggunakan media sosial sebagai sumber utama untuk mendapatkan maklumat terkini seperti berita, maklumat kesihatan, dan topik-topik yang menarik minat mereka. Tambahan pula, mereka mengakses platform seperti YouTube dan blog untuk menimba kemahiran baru serta mengejar hobi yang digemari. Dengan ini, media sosial bukan sahaja membantu memenuhi keperluan maklumat tetapi juga mendorong kepelbagaian aktiviti pembelajaran dan hiburan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, penyertaan warga emas dalam kumpulan sokongan atau komuniti dalam talian yang berkongsi minat atau cabaran yang serupa dapat memberikan dan menerima sokongan emosi yang penting bagi mereka. Ia tidak hanya menyediakan platform untuk berinteraksi sesama individu yang memahami pengalaman mereka, tetapi juga membantu mengurangkan kesunyian yang mungkin mereka hadapi. Justeru, penglibatan warga emas dalam komuniti sebegini dapat meningkatkan kesejahteraan emosi, di mana mereka merasakan lebih diterima dan disokong dalam perjalanan hidupnya.
Cabaran Warga Emas dalam Penggunaan Media Sosial
Walaupun penggunaan teknologi membawa impak dan kelebihan yang signifikan, ia juga membawa kelemahan tertentu bagi warga emas. Sebagai contoh, isu keselamatan siber dan privasi merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh warga emas dalam penggunaan media sosial. Mereka berisiko menghadapi penipuan dalam talian serta menjadi mangsa kepada pencurian identiti yang semakin berleluasa. Oleh itu, pendidikan literasi media dan digital adalah penting bagi warga emas agar mereka dapat melindungi diri ketika berinteraksi dalam dunia maya.
Pada waktu yang sama, jurang digital di kalangan warga emas seperti akses terhadap peranti dan capaian internet perlu diatasi terutamanya di kawasan luar bandar. Tidak dinafikan, kelemahan sistem dan infrastruktur sedia ada sedikit sebanyak menyumbang kepada pengguna yang kurang celik dengan dunia pendigitalan. Hal ini mengakibatkan terdapat keperluan yang mendesak untuk menyediakan sokongan teknikal serta program pendidikan teknologi kepada warga emas agar mereka dapat memahami dan menggunakan teknologi digital dengan lebih arif.
Di samping itu, ahli keluarga dan masyarakat memainkan peranan yang penting dalam memberi sokongan kepada warga emas dalam perjalanan pembelajaran digital. Mereka perlu kerap memberi semangat dalam membantu warga emas untuk memahami dan menggunakan media sosial dengan lebih baik. Selain itu, inisiatif komuniti seperti penganjuran kelas teknologi yang khusus kepada warga emas serta kemudahan mengakses peralatan ICT di pusat aktiviti turut membantu meluaskan pengetahuan dan kebolehan mereka dalam menghadapi teknologi moden, justeru meningkatkan kualiti hidup mereka.
Kesimpulannya, warga emas dapat memanfaatkan media sosial untuk meluaskan jaringan sosial antara keluarga dan komuniti dunia maya, memperoleh akses kepada maklumat terkini, mengeksplorasi minat kendiri serta menjaga kesejahteraan emosi. Namun begitu, mereka juga perlu mengatasi cabaran seperti kebimbangan keselamatan siber dan keperluan untuk memahami teknologi moden yang kian berkembang. Akhir kata, sokongan yang berterusan dari keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa adalah penting dalam membantu warga emas mengadaptasi kehidupan dunia digital.
*Artikel ini ditulis oleh Dr Ong Ai Ling, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Leisure, Taylor’s University.