KUALA LUMPUR: Lincoln University College (LUC) memperkukuh kerjasama dengan pelbagai universiti antarabangsa yang berprestij dalam usaha menyediakan peluang kerjaya global kepada graduan.
Naib Presiden Korporat dan Perhubungan Wilayah LUC, Amin Mohd Shukor berkata, inisiatif kerjasama antaranya bersama FH Campus Wien, Austria turut mempermudah penempatan kerja graduan kejururawatan di negara tersebut.
“Kerjasama ini adalah peluang luar biasa buat graduan LUC untuk memulakan kerjaya dalam persekitaran penjagaan kesihatan global,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kurikulum Kejururawatan LUC telah menerima pengiktirafan daripada Kesatuan Eropah (EU).
“Pengiktirafan ini menekankan kecemerlangan akademik dan piawaian antarabangsa yang dipelihara program ini. Ia meningkatkan kebolehpasaran serta kesediaan profesional pelajar untuk bersaing di peringkat global,” tambahnya.
Amin berkata, LUC komited membina ruang kerjaya antarabangsa untuk graduan.
“Kerjasama dengan FH Campus Wien ini membuktikan dedikasi kami dalam menetapkan penanda aras baharu dalam pendidikan tinggi,” ujarnya.
Presiden dan Pengasas LUC, Profesor Dr Amiya Bhaumik, berkata peluang kerjaya di Eropah turut diperluaskan kepada graduan bidang hospitaliti, pelancongan, kejuruteraan, perakaunan, dan teknologi maklumat (IT).
“LUC juga telah menjalin kerjasama dengan universiti di negara-negara seperti United Kingdom, Jerman, dan Belanda untuk memastikan lebih ramai pelajar Malaysia dapat bekerja di benua itu,” katanya.
Tambah beliau, fokus LUC kini terarah kepada pasaran Eropah kerana kekurangan bilangan graduan Malaysia yang bekerja di sana.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.