comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

[VIDEO] Warga kota rayu rumah usang & uzur segera dibaiki


Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR : Kemiskinan bandar menyebabkan masih ada penduduk yang hidup dalam serba daif di ibu kota.

Rumah usang yang didiami lebih 50 tahun hanya menunggu masa untuk roboh.

Akibat kesempitan hidup, rumah usang satu tingkat terpaksa didiami 20 ahli keluarga.

Rumah uzur berusia 60 tahun yang terletak di Kampung Pandan Indah, Ampang Jaya ini bagai retak menanti belah.

Sudah menjadi lumrah kehidupan mereka, air hujan mencurah masuk ke dalam rumah tatkala cuaca buruk.

Akibat bumbung bocor, penduduk terpaksa menadah air menggunakan bekas plastik, di ruang tamu, dapur dan bilik tidur ketika hujan.

Ujar salah seorang penduduk Ishak Ismail, 62, ketika ditemui dia tidak mampu menanggung kos membaiki atap rumahnya yang menelan kos yang banyak buatnya dan keluarga.

“Beginilah keadaan rumah di sini yang keseluruhannya pecah sebab terkena angin kuat dan sebagainya, kita nak membetulkan atap baru juga tidak mampu,” ujarnya.

Keadaan bumbung bocor dan lantai yang lendut serta tidak lagi kukuh menyebabkan mereka sentiasa dirundung perasaan bimbang dan cemas apabila hujan lebat dan ribut melanda.

Menurut penduduk lain yang ditemui, Nor Hayati Samsudin, 50, dia meluahkan rasa takut bumbung rumahnya akan tercabut lebih-lebih lagi ketika ribut.

“Saya takut jugak kalau ribut dan angin kuat, saya berdoa banyak dengan tuhan supaya rumah saya tidak terjejas lagi seperti atap tertanggal, kadang-kadang atap ada juga bergoyang ,”  jelas Nor Hayati.

Kehidupannya bertambah perit apabila diberhentikan kerja sebagai pembantu jualan ketika pandemik Covid-19 melanda.

Ditambah pula dengan masalah lutut yang dihadapinya menyebabkan dia tidak dapat mencari pekerjaan baharu bagi menampung perbelanjaan anaknya yang masih belajar.

Penduduk, Salmah Latif

Kemiskinan yang mencengkam kehidupan turut dialami penghuni lain, Salmah Latif, 66, apabila banyak struktur kediamannya yang memerlukan pembaikan segera.

Akibat kesempitan wang, mereka terpaksa mendahulukan keperluan keluarga daripada membelanjakannya untuk memperbaiki rumah.

“Saya ada juga pernah panggil orang (kontraktor) untuk tukar bumbung rumah, tetapi terlampau mahal dan hampir RM3000,  memang tidak terdaya saya untuk membayar dengan harga tersebut,” ujar Salmah ketika tinjauan dirumahnya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

Isu kemiskinan bandar kami ajukan kepada Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Sebelum ini, kementeriannya mengumumkan peruntukan RM42.26 juta bagi projek bantuan baik pulih rumah dan bantuan bina baharu rumah di bandar tahun ini.

Jumlah itu merangkumi RM40.26 juta bagi projek baik pulih rumah yang memanfaatkan 2,534 ketua isi rumah (KIR) dan RM2 juta lagi untuk pembinaan rumah baharu.

KIR yang mendapat manfaat membaik pulih rumah adalah dari kalangan warga negara yang mempunyai rumah yang cukup daif, sama ada akibat kebakaran atau bencana dengan bantuan maksimum diberi sehingga RM15,000.

Manakala bagi kediaman yang rosak dan perlu dibina semula, maksimum peruntukan sehingga RM66,000.

Permohonan melalui pihak berkuasa tempatan, PBT dan pelawaan bagi tahun ini dibuka sejak Disember 2022.

KIR pula perlu disahkan status kemiskinan mereka melalui sistem E-kasih.

“KIR yang berdaftar dengan E-Kasih bermaksud mereka adalah miskin tegar dalam bandar maka yang mempunyai nama dalam senarai E-Kasih akan kita lulus dan berikan keutamaan.

“Tapi tidak bermaksud golongan miskin lain yang mungkin lupa daftar akan ditinggalkan,” tambahnya.

Katanya, PBT yang bertindak sebagai agensi pelaksana bagi program ini, bertanggungjawab dalam mengenal pasti KIR yang layak melalui semakan di lapangan.

Loading...
Terkini