Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LANGAT: Akibat tanah mendap, 207 unit kediaman di Taman Sijangkang Jaya, Teluk Panglima garang, Selangor yang didiami hampir 200 penduduk mengalami keretakan.
Insiden itu mencetuskan risiko keselamatan kepada penduduk yang baru sahaja mendiami rumah mereka, awal tahun ini.
Malah ada rumah tidak dapat diduduki berikutan keretakan serius.
Menurut penduduk, Zaidey Ahmad,45, selain rumah retak pelbagai kerosakan lain dapat dikesan di kawasan perumahan ini termasuk tangki septik dan longkang pecah.
“Ada lagi kawasan mendap yang mana berlaku dekat belakang, dengan pagar dah senget, tangki septik semua dah pecah dan saluran semua terjejas itu semua kita bimbang,” katanya.
Tambahnya, dia dan ahli keluarga juga terpaksa menangguhkan perancangan berpindah ke rumah berkenaan.
Ketika tinjauan ini dilakukan, kami turut mendapati beberapa bahagian tepi rumah penduduk mengalami keretakan luar biasa-dianggarkan lebih 50 sentimeter (cm).
Malah ada juga bahagian tepi kediaman yang berlubang memaksa penduduk mengambil inisiatif sendiri, menutup lubang berkenaan dengan batuan dan pasir.
Penghuni Dinesh Chandran, 36, yang ditemui juga mendakwa tanah mendap juga menyebabkan cerucuk besi yang ditanam di bahagian hadapan rumah, terkeluar dan mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk khususnya kanak-kanak.
“Kita tidak berani nak beri anak-anak keluar bermain, sebab jika dilihat kawasan ini sudah retak, jadi kalau kita beri mereka bermain kita akan fikir 2-3 kali walaupun depan mata kita, adakah mereka selamat?”
Lebih mengejutkan beberapa kediaman penduduk turut ‘didiami’ serangga perosak-anai-anai.
Penduduk, Firdaus Zulkifli memaklumkan beberapa aduan telah dipanjangkan kepada pihak pemaju namun mereka didakwa tidak serius menangani isu terbabit.
Aduan itu kami kemukakan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku pemaju kediaman berkenaan.
Dalam satu kenyataan PKNS memaklumkan pertemuan diadakan wakil pengurusan teknikal PKNS, wakil arkitek, perunding struktur, wakil Ikram Engineering Services Sdn Bhd dengan penduduk pada 11 Mei dan 3 Ogos lalu bagi menjelaskan isu ini secara lebih telus serta memaklumkan tindakan yang akan diambil.
Wakil penduduk diberi penerangan mengenai laporan kaji selidik yang dilakukan pihak ikram serta kaedah pembaikan yang bakal dilakukan kontraktor yang dilantik kelak.
Kerja-kerja baikpulih 207 unit kediaman bercampur, termasuk 102 unit rumah teres dua tingkat, 98 unit rumah teres setingkat serta 7 unit lot kedai setingkat akan dimulakan bulan ini.
Ia dijangka siap dalam tempoh masa sembilan bulan.
Namun sehingga laporan ini disiarkan, penduduk memaklumkan kerja-kerja baik pulih masih belum dimulakan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.