Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LANGAT: Jijik dan mual! Begitulah perasaan hampir 500 penduduk Kampung Ladang Batu, Tanjong Sepat, yang terpaksa bergelumang dengan ribuan lalat sejak tiga tahun lalu.
Berkongsi kepada kru Aduan Rakyat, penduduk mendakwa masalah itu berpunca daripada sebuah ladang ternakan ayam yang terletak berhampiran kampung mereka.
Menurut seorang penduduk, Nasarudin Ngodio, 45, yang tinggal hanya 200 meter dari ladang tersebut, kehadiran lalat yang begitu banyak membuatkan kehidupan mereka menjadi tidak keruan.
“Setiap hari kami terpaksa gunakan tidak kurang 15 keping pelekat lalat di setiap rumah. Ada juga yang menggunakan botol plastik yang dicalit dengan sos cili sebagai perangkap.
“Waktu tidur pula, baik siang mahupun malam, memang sukar kerana lalat-lalat ini tetap ada. Walaupun tidur dalam kelambu, ada saja lalat yang berjaya masuk,” kongsinya.
Kesan daripada masalah itu, ramai penduduk kampung telah mengalami cirit-birit akibat keracunan makanan. Malah, mereka yang uzur dan sakit lebih berisiko terdedah kepada jangkitan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
Gangguan itu turut memberi kesan besar kepada peniaga makanan tempatan. Suzila Sarengat, 51, berkata kehadiran lalat yang tidak terkawal telah menyebabkan pendapatannya merosot secara mendadak.
“Kadang-kadang pelanggan yang datang, terutama dari luar, akan bertanya, kenapa banyak sangat lalat di sini? mereka terkejut dengan keadaan ini.
Sebelum ini, saya boleh dapat sekitar RM100 sehari, tapi sekarang nak dapat RM50 pun payah sebab ramai pelanggan tak mahu datang lagi,” keluhnya.
Masalah lalat itu bukan sahaja menjejaskan perniagaan, malah turut mengganggu majlis keramaian di kampung tersebut.
Penduduk dikatakan terpaksa mengupah pihak tertentu untuk menyembur cecair pembasmi lalat di kawasan majlis, namun serangga itu tetap muncul.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Ladang Batu, Saluah Mundagir, 44, menjelaskan bahawa masalah lalat semakin menjadi-jadi sejak ladang ternakan ayam itu memperluaskan operasinya.
“Dulu cuma ada dua reban, tapi sekarang mereka tambah lagi tiga reban, menjadikan jumlah keseluruhan lima reban. Akibatnya, pengeluaran ayam meningkat kepada 200,000 ekor, dan itu menyumbang kepada masalah lalat ini,” katanya.
Kru Aduan Rakyat turut membawa perkara berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Datuk Borhan Aman Shah.
Beliau menggesa tindakan tegas diambil terhadap premis tersebut yang didapati melanggar peraturan berulang kali.
“Saya sudah berbincang dengan Jabatan Veterinar, dan mereka memaklumkan bahawa selepas tiga kali dikompaun, ladang itu boleh ditutup.
Tapi, ada ladang yang telah melanggar peraturan lebih daripada tiga kali. Jadi, saya mendesak agar tindakan lebih tegas diambil untuk menyelesaikan isu ini,” katanya yang juga Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.