comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

[VIDEO] Aduan Rakyat: Jalan berlubang umpama permukaan bulan

 

KINABATANGAN: Umpama permukaan bulan.

Kiasan itu dikaitkan dengan keadaan jalan raya di sepanjang Lahad Datu ke Kinabatangan serta Jalan Telupid ke Sandakan di Sabah yang berlubang-lubang dan rosak menjadi antara faktor sering berlakunya kemalangan.

Penduduk mengeluh masalah itu berlarutan berpuluh tahun lamanya dan seolah-olah tiada kesudahan.

Laporan Aduan Rakyat bersama wakil rangkaian Media Prima Sabah dan Sarawak, Mohd Yazzer Mahmun.

Pasrah dan terpaksa menempuh perjalanan yang berliku setiap hari.

 

Walaupun sedar kenderaan akan rosak akibat melalui jalan yang berlubang-lubang tetapi apakan daya jika itu laluan yang terpaksa ditempuhi.

 

“Sejak lebih kurang 60 tahun yang lalu, start dari saya sekolah rendah lagi sampai tua macam ni, saya tidak pernah dapat jalan yang baik kalau di Sabah ini, terutama jalan Sandakan ke Kinabatangan ini” kata Mohd Hasrat yang merupakan seorang pengguna jalan raya itu.

Sudah menjadi lumrah kehidupan penduduk mengeluarkan kos yang tinggi memperbaiki dan menyelenggara kenderaan masing-masing akibat melalui jalan yang rosak.

 

Mohd Yazzer Mahmun meninjau keadaan jalan raya yang begitu teruk keadaannya, berlubang sehingga menjejaskan tayar kereta rosak.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 57 kes kemalangan jalan raya termasuk satu kes kemalangan maut dilapor di daerah Kinabatangan pada Januari dan Februari tahun ini.

 

Keadaan jalan raya yang teruk juga pernah disuarakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di Dewan Rakyat ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya, Mac lalu.

Beliau memberi perumpamaan keadaan jalan raya seperti permukaan bulan.

“Puan Pengerusi, sekiranya ada yang ingin menjadi angkasawan hari ini, jangan risau, semuanya kini menjadi lebih mudah. Anda hanya perlu datang sendiri dan memandu kereta di Sabah. Pengalamannya sama seperti berada di permukaan bulan dengan jalan raya berlubang lubang di tepi, belakang, kiri dan kanan.”

Masalah itu kami ajukan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Negeri.

“Kita menghadapi kekangan kewangan kerana untuk fasa pertama tahun ini saja, jumlah peruntukan yang ada adalah sekitar RM21.5 juta bagi penyelenggaraan jalan2 persekutuan di seluruh Sabah. Jadi pihak konsesi akan melihat kawasan-kawasan yang di mana keadaannya begitu teruk dan membahayakan sekali, itu akan diambil perhatian.”

Namun katanya,keadaan jalan raya yang mengalami kerosakan dijangka dapat diatasi menerusi Projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sedang dilaksanakan.

Jalan Telupid Sandakan yang mengalami kerosakan dijangka berubah wajah kerana ia termasuk dalam projek berkenaan.

Loading...
Terkini