
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PUNCAK ALAM: Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak akan menyokong sebarang permohonan Sijil Penyiapan dan Pematuhan, (CCC) bagi pembangunan lain selagi projek naik taraf Jalan Bukit Cherakah tidak siap.
Kenyataan JKR itu susulan laporan Aduan Rakyat semalam mengenai isu kesesakan lalu lintas, yang menghantui kira-kira 5,000 penduduk sejak lima tahun lalu.
Keputusan itu dibuat selepas sesi perbincangan rabu lalu, antara JKR dengan pihak pemaju dan wakil penduduk.
“Pihak pemaju hendaklah meningkatkan kekerapan penyampaian informasi terkini serta mengemukakan cadangan aliran trafik kepada pihak JKR Malaysia pada 21 Februari (Jumaat).
“Hebahan kepada wakil penduduk akan dibuat secara berkala berhubung pelaksanaan kerja-kerja naiktaraf serta jalan lencongan di lokasi ini,” katanya dalam kenyataan balas kepada Buletin TV3.
Jelas JKR laluan yang secara puratanya menerima 16,000 kenderaan sehari itu sesak berikutan kelewatan kerja-kerja menaiktaraf jalan, disebabkan pengalihan utiliti yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat diteruskan.
“Pada masa yang sama, peningkatan aliran trafik di Jalan FT1210 turut disebabkan oleh penutupan jalan alternatif dari Alam Perdana ke Alam Jaya yang berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
“Kerja-kerja pembaikan MPKS ini dijangka mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.
Projek naik taraf Jalan Bukit Cherakah FT1210 kini dilaksanakan untuk mengubah jalan itu, daripada satu lorong dua hala kepada tiga lorong dua hala dan dijangka siap pada pertengahan 2026.
“Projek ini adalah susulan permohonan pembangunan tepi jalan oleh pihak pemaju bagi tujuan pembinaan kawasan perumahan dan komersial di kawasan tersebut.
“Pihak pemaju telah disyaratkan untuk menaik taraf dan memastikan penyenggaran di jalan tersebut berada dalam keadaan baik dan selamat bagi kegunaan pengguna jalan raya, sehingga kerja naiktaraf disiapkan dan diserahkan semula kepada JKR Malaysia,”tambahnya.
Dalam pada itu, JKR Daerah Kuala Selangor memaklumkan sehingga Januari lalu, status kemajuan keseluruhan projek adalah 60 peratus.
Sementara itu,bagi mengurangkan kesesakan MPKS akan membantu untuk menyediakan jalan alternatif dari Alam Perdana ke Alam Jaya melalui Jalan Persiaran Eco Business Park V / Jalan Persiaran Puncak Alam 8.
Mengulas mengenai isu jalan gelap, JKR berkata pihak pemaju akan mengambil tindakan pembetulan terhadap isu lampu jalan.
JKR daerah turut memberi kata dua; pihaknya akan mengambil tindakan jika syarat ini tidak dipatuhi dengan melantik pihak ketiga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.