Oleh Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Kolam tadahan yang dibina di Desa Latania Seksyen 36, Shah Alam, dijadualkan siap pada 2011, namun hingga kini, ia terbiar tanpa sebarang perkembangan dan tidak memberikan manfaat kepada penduduk.
Kolam milik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ini seluas kira-kira 1.2 hektar, mempunyai tiga takungan yang telah terbengkalai dan tidak diselenggara sejak 13 tahun lalu.
Keadaan ini menyebabkan kawasan tersebut menjadi tempat pembiakan nyamuk dan punca banjir kilat sekaligus membimbankan hampir 400 mengenai keselamatan di kawasan tersebut.
Penduduk, S Manokar, 60, berkata penduduk kerap melihat haiwan berbisa keluar dari semak-samun tersebut, lebih membimbangkan ia juga berada kira-kira 50 meter dari taman permainan.
“Saya pernah melihat ular sawa sepanjang 10 kaki melintas jalan raya dari kawasan belukar berhampiran.
“Selain ular, penduduk juga sering kali dikejutkan dengan kehadiran biawak di kawasan surau,”katanya.
Menurut penduduk Abdul Rahim Awang, 52, kolam tadahan ini turut dijadikan tempat pembuangan sampah oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, kami pernah mengeluarkan RM4,000 dari tabung sendiri untuk membersihkan kawasan tersebut, namun kos yang tinggi menghalang kami untuk meneruskannya,” katanya.
Dalam pada itu, dakwa penduduk Prof Adj Dr Nizam Shah Allabasc berkata masalah keselamatan akibat pembukaan jalan keluar masuk yang dibuka turut merisikokan mereka.
“Pembukaan jalan berkenaan menyebabkan isu seperti pecah rumah, kecurian kenderaan, dan gangguan haiwan liar meningkat.
“Jalan tersebut difahamkan belum digazetkan dan gelap pada waktu malam susulan sebahagian lampu jalan yang rosak. Malah terdapat juga bongkahan batu belum dibaiki, seterusnya menyukarkan pengguna jalan.
“Kawasan ini pernah berlaku tiga kali kemalangan maut, terutamanya ketika penduduk cuba membuat U-turn,” ujarnya.
Justeru penduduk menggesa agar masalah ini mendapat perhatian segera dari pihak berwajib.
Menuru penduduk Oktober lalu, satu lawatan tapak telah diadakan oleh MBSA bersama Ahli Majlis, namun sehingga kini tiada tindakan susulan yang diambil.
Pihak MBSA yang dihubungi berjanji akan memberi maklum balas dalam masa terdekat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.