comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Penduduk bimbang banjir berulang 

FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Penduduk Kampung Baru Muafakat di Gelang Patah di sini hari ini melahirkan kebimbangan mereka kerana khuatir banjir kembali melanda.

Mohd Shahid Jalal, 38 yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dalam kejadian pada 11 pagi semalam, penduduk bukan saja diancam banjir lumpur malah pelbagai harta benda termasuk kenderaan juga mengalami kerosakan apabila ditenggelami air hampir satu meter.

Menurutnya, kejadian seumpama itu berulang sejak dua tahun lalu namun kali ini lebih buruk.

FOTO: NSTP

Katanya, dalam kejadian semalam, keluarganya menanggung kerugian lebih RM5,000 dan terpaksa menghabiskan masa lebih tujuh jam bagi membersihkan kesan lumpur selepas banjir surut.

“Kawasan perkampungan ini terletak berhampiran Sungai Gelang Patah dan sebelum ini terdapat projek pendalaman sungai dijalankan sebagai langkah mengatasi banjir.

“Kejadian sebelum ini berlaku apabila air hujan bertembung dengan air pasang namun kali ini kejadian berulang walaupun tiada fenomena air pasang.

FOTO: NSTP

“Penduduk khuatir kejadian berulang dan lebih kerap berlaku sekiranya hujan lebat di kawasan ini pada masa depan dan diharap agensi berkaitan segera bertindak,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa di Kampung Baru, Wan Zuraida Abdul, 24, berkata masalah banjir di perkampungan berkenaan bukan perkara baharu malah berlaku sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun kejadian semalam berlaku dalam sekelip mata selepas hujan lebat kira-kira dua jam.

“Cuaca dua tiga hari lalu agak panas dan bahang, kami tidak sangka semalam kampung ini dilanda banjir.

“Keluarga saya sudah tinggal di kawasan ini sejak 20 tahun dan kami yakin projek pembangunan di sekitar kawasan menjadi antara punca banjir kilat.

“Malah keadaan parit dan longkang yang tidak diselenggara secara berkala juga menjadi antara penyumbang banjir kilat ketika hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa di Kampung Baru, Sa’diah Abd Jalil, 72, berkata penduduk berharap agensi berkaitan membina tembok pencegah banjir bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Bayangkan kami pernah dilanda banjir sebelum ini ketika membuat majlis perkahwinan ahli keluarga di rumah.”Kami bimbang kejadian berulang dan semakin buruk hingga mengancam nyawa penduduk,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, seramai 460 keluarga membabitkan1,500 penduduk terjejas akibat banjir.

Beliau berkata, ia termasuk Kampung Wawasan, Kampung Bukit Tempurung, Kampung Baru, Kampung Baru Muafakat dan Kampung Melayu Gelang Patah.

“Ramai mangsa yang berpindah ke rumah saudara-mara dan pulang ke rumah selepas banjir surut.”Manakala pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Raya Gelang Patah yang menempatkan tujuh keluarga sudah ditutup pada 9 pagi hari ini.

“Kami sedang mengusahakan bantuan bencana kepada mangsa menerusi agensi berkaitan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke rumah mangsa banjir di Kampung Baru di sini hari ini.

Loading...
Terkini