comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Lebih 20 kali sebulan, hidu asap pembakaran terbuka

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

TELUK PANGLIMA GARANG: Lebih 20 kali sebulan pembakaran terbuka dikesan di kawasan Teluk Panglima Garang, Selangor.

Masalah itu didakwa berpunca daripada kewujudan beberapa tapak pelupusan sampah haram di kawasan itu hingga menyebabkan kira-kira 1,500 penduduk di Residen Parque terpaksa menghidu asap yang membahayakan kesihatan mereka.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali Mei mendakwa, sering mengalami masalah hidung tersumbat, sesak nafas dan sakit tekak hingga terpaksa menerima rawatan berulang kali.

“Beberapa jiran juga memberitahu, anak-anak mereka dimasukkan ke hospital kerana masalah tekak tetapi mereka tidak tahu apa sebabnya dan kemudian doktor memberitahu mereka agar tidak menyidai pakaian mereka di luar dan ia membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya ketika ditemui BuletinTV3.

Penduduk, Grace Foo

Dakwa penduduk Grace Foo, 48, pembakaran terbuka berlaku di beberapa kawasan ketika lewat malam.

“Dalam satu bulan sekurang-kurangnya 20 kali pembakaran berlaku, di sini hampir setiap malam kebakaran saya nampak dibeberapa kawasan sekitar kediaman.

“Dan ada mereka yang bakar (sampah) dengan kuantiti yang sedikit sehingga tiada yang perasan sangat,” ujarnya.

24 Julai lalu, pembakaran terbuka dikesan di kawasan tapak pelupusan sampah haram di Jalan Sijangkang Utama seterusnya memaksa Mei untuk pergi melihat secara lebih dekat kejadian itu.

“Saya lihat kepulan asap yang tebal, dari sebahagian hutan berhampiran, saya dapat menghidu bau plastik yang kuat, ia begitu kuat sehingga saya tidak dapat membuka tingkap (kereta) saya,”katanya.

Krew Aduan Rakyat kemudian meninjau ke lokasi dimaksudkan 27 Julai lalu yang hanya terletak kira-kira lima kilometer dari kediaman penduduk.

Setiba dilokasi, kami dibawa Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Teluk Panglima Garang memasuki kawasan kebakaran

Lensa kamera kami berjaya merakam timbunan sampah setinggi kira-kira sembilan meter ini.

Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, PPgB Mohd Azril Abdul Kadir

Penolong Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, Mohd Azril Abdul Kadir berkata, ketika kejadian pihaknya menerima panggilan jam 11 pagi.

Tujuh anggota bomba bersama jentera dari BBP Teluk Panglima Garang serta beberapa agensi dan jabatan terlibat dalam operasi pemadaman.

Pada hari ketiga operasi, kaedah ’firebreak’ dilakukan di dua sektor bagi mengelak api terus merebak serta membuat parit di sekeliling kawasan sampah yang terbakar.

“Pembakaran sampah di kawasan ini memang menjadi lokasi kebiasaan, ibarat kawasan ‘hotspot’ untuk sampah-sampah, sebelum ini kita ada tujuh statistik yang kita terima untuk kebakaran sampah dan ini ialah kawasan baru dan  besar, dan untuk ini lokasi ini yang paling besar,” ujarnya ketika ditemui di operasi pemadaman.

Kerja-kerja pemadaman selesai sepenuhnya semalam, dengan mengambil masa selama sembilan hari.

Isu itu kami penjangkan kepada Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin.

Dalam satu kenyataan beliau memaklumkan, sampah yang dibuang bukan dikategorikan e-waste, tetapi adalah sisa pepejal komersial atau perindustrian.

Ujarnya, perbincangan diadakan bersama sembilan agensi dan jabatan berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat.

Hasilnya, PDT Kuala Langat mengeluarkan notis 7A untuk memulihkan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

Pemilik tanah turut diarah mengambil tindakan pembersihan dalam tempoh 180 hari bermula 22 Julai.

Isu berkenaan juga dibawa kepada perhatian Exco Kerajaan Tempatan, dan antara cadangan dikemukakan ialah menutup laluan masuk ke tapak pembuangan sampah haram dengan melaksanakan kawalan ketat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini