Oleh : Fatin Hanani Sahimi
PUNCAK ALAM: Kesesakan lalu lintas menghantui kira-kira lima ribu penduduk di sekitar Jalan Meru-Bukit Cherakah, di sini sejak lima tahun lalu.
Untuk jarak dua kilometer, mereka perlu menempuh perjalanan sehingga satu jam berpunca daripada kelewatan projek pelebaran jalan.
Dakwa penduduk, kesesakan paling teruk berlaku pada waktu puncak, iaitu sekitar jam 6.00 hingga 8.30 pagi dan jam 5.30 petang hingga 7.30 malam.
Menurut mereka, projek pelebaran jalan itu bermula sejak 2020 dan sepatutnya siap tahun ini.
Tinjauan kru Aduan Rakyat Buletin TV3 mendapati, kesesakan berlaku seawal jam 5.30 pagi di kedua-dua belah lorong hampir empat kilometer.
Sementara itu, penduduk Zulkhairi Zamri, 35, berkongsi situasi itu bertambah buruk terutamanya ketika musim persekolahan.

“Bayangkan, perjalanan dari Taman Alam Perdana untuk keluar ke simpang jalan utama hanya jarak sekitar satu hingga dua kilometer, namun ia memakan masa hampir satu jam. Ini belum termasuk jarak ke sekolah, memang teruk,” katanya.
Dalam pada itu, keadaan sebahagian jalan yang gelap dengan ketiadaan lampu, juga menambah risiko kemalangan kepada pengguna, terutamanya penunggang motosikal.
Penduduk, Mohd Afiq Md Salih, 41, berkata, struktur jalan yang rosak dan berlubang, memburukkan lagi keadaan terutama ketika hujan.

“Saya yang melalui jalan ini sekitar jam 10 atau jam 11 malam memang bimbang, tambah lagi setiap bulan pasti ada kemalangan yang berlaku, termasuk minggu lepas yang melibatkan motosikal di simpang hadapan.
“Penghadang tepi jalan yang tidak dilengkapi dengan ‘reflector’ juga merisiko keselamatan kepada kami,”ujarnya.
Menurut penduduk, Muhammad Ridzwan Akoailah,35, pelbagai aduan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan, namun ia hanya tinggal aduan.
Malah, kerja-kerja di lapangan juga didakwa berjalan perlahan sehingga menimbulkan keraguan mengenai kelancaran projek terbabit.

“Pada permulaan tahun 2024, kita dapat lihat ada kalanya kegiatan pembinaan aktif, ada kalanya tidak, sebulan ada, sebulan tiada. Namun, bangunan di sekitar kawasan ini berkembang dengan pesat.
“Pada waktu ini, kita hanya nampak sedikit perubahan, dengan hanya dua atau tiga jentera yang beroperasi, berbanding sebelum ini,” tambahnya.
Sementara itu, penduduk juga pernah mengusulkan agar polis trafik ditempatkan pada waktu puncak bagi membantu mengurangkan kesesakan.
Justeru bagi menoktahkan permasalahan dihadapi, mereka menggesa pihak berwajib untuk turun padang membantu menyelesaikan isu berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.