comscore
Tumpuan :
Aduan Rakyat

Aduan Rakyat: Ratusan lori sebabkan laluan sesak dan rosak

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Hampir 6,000 penduduk di Taman Matang Jaya dan Taman Impian Indah di Sungai Buloh, Selangor bukan sahaja terpaksa berdepan pencemaran bunyi dan udara akibat aktiviti kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong.

Malah, laluan utama mereka dipenuhi lori muatan berat yang membawa batu kuari menyebabkan kesesakan luar biasa pada waktu puncak.

Situasi itu turut mengancam keselamatan pendudukan dengan dua nyawa sudah terkorban akibat bertembung dengan lori, selain jalan raya yang rosak mengundang bahaya kepada penduduk.

Aduan Rakyat menerima emel aduan penduduk mengenai masalah berkenaan yang didakwa sudah berlarutan hingga 20 tahun.

Tinjauan mendapati lori yang membawa batu kuari bertali arus keluar dan masuk meskipun pada hari minggu.

Dakwa penduduk, lori-lori berkenaan tidak dibenarkan melalui jalan perumahan mereka pada hari Sabtu.

Pengerusi Persatuan Komuniti Taman Matang Jaya, Hasan Basri Khalil mendakwa perkara itu adalah salah di sisi undang-undang selain menganggu kehidupan mereka.

“Hari ini adalah hari sabtu, sepatutnya law (undang-undang) kepada lori kuari, hari Sabtu mereka memang tidak dibenarkan lalu.

“Tapi kebiasaannya hari Sabtu sekarang ni makin banyak, contohnya sekarang ni bertembung-tembung!” katanya sambil menunjuk lori-lori kuari yang lalu lalang dibelakangnya.

Shairan Mohd, penduduk Taman Impian Indah pula mendakwa kehadiran ratusan lori seawal subuh hari mendatangkan kesukaran kepada kehidupan seharian mereka.

“Lori-lori kuari ni awal pagi dah ada dah, lori bawak batu bawak batu kuari, batu-bata semua dah keluar awal pagi, pukul 6 saya keluar tu dia orang dah ada dah, jadi satu masalah lah,” katanya kepada Buletin TV3.

Mohd Gaddafi, penduduk Taman Matang Jaya berkata laluan kegunaan harian yang dipenuhi habuk turut mengancam kesihatan penduduk.

“Habuk udara dia terlalu tinggi sangat, jadi membahayakan kesihatan kepada masyarakat sini lah, jadi jalan infrastruktur yang tak cantik boleh mengundang kemalangan lah.

“Sangat teruk dan memang kita geram betul (dengan masalah di kawasan itu), pengguna-pengguna ni memendam rasa hati,” katanya kepada Aduan Rakyat.

Penduduk bukan sahaja perlu berdepan kesesakan pada waktu puncak, malah mereka juga terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyelenggara kenderaan akibat melalui jalan yang rosak teruk.

Ghani Majid, Imam Surau Taman Impian Indah yang sudah tinggal disitu hampir 20 tahun mendakwa, penduduk banyak mengadu kepadanya mengenai kerosakan kenderaan yang sering mereka hadapi.

“Keadaan makin teruk jalan ni kan, berlubang, kereta banyak berlaku kerosakan, siapa nak tanggung kos rugi dia?

“Tambah-tambah bila musim hujan, keadaan tu makin teruk dengan lubang-lubang (pada jalan) semua kan.

“Banyak aduan kawan-kawan saya pun, dia kata berlaku banyak kerosakan pada kereta dia orang la,” keluhnya.

Sehubungan itu, penduduk mahu pihak berkuasa menyediakan jalan alternatif agar mereka tidak perlu berkongsi laluan sama dengan lori muatan berat.

Mohamad Azihan Che Seman, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Impian Indah berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menjalankan tanggungjawab mereka setiap kali aduan dibuat, namun jalan yang diturap akan hancur dalam masa yang singkat dek lori muatan berat.

“Terima kasih kepada kerajaan Selangor dan PBT, setiap kali aduan yang telah kita buat mereka tak pernah lepas tangan.

“Bila kita adu keretakan jalan, hadir lah agensi kerajaan dan PBT, dia cuba tolak jalan yang rosak tadi dan menurap sementara.

“Kemudian kenderaan berat lalu dalam tempoh 2-3 jam dia (jalan itu) akan hancur berkecai balik,” jelasnya kepada kru Aduan Rakyat.

Masalah dihadapi penduduk ini diajukan Aduan Rakyat kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Shaiful Nor Aidil Mohd Jaya, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPS

MPS mendakwa sudah sudahpun membaik pulih jalan berkenaan sebanyak 11 kali untuk tahun 2022 sahaja, namun kerosakan akan terus berlaku.

Shaiful Nor Aidil Mohd Jaya, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPS memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan notis kepada pihak kuari untuk membaik pulih jalan tersebut namun masih tiada tindakan lanjut.

“Kita telah mengeluarkan notis kepada pihak kuari untuk membaik pulih jalan tersebut, dengan menggunakan method yang lebih sesuai ataupun lebih tahan ‘heavy duty’ lah, lebih tahan lasak.

“Tetapi notis ini mungkin tidak diambil tindakan oleh pihak kuari, jadi perkara tersebut kita tarik cagaran kuari ini.

“Dan kita akan laksanakan kerja-kerja pembinaan ‘rigid pavement’ ataupun jalan konkrit dengan dengan kos anggaran bernilai RM 400,000,” katanya.

Loading...
Terkini