Oleh: Zahir Senapiah
BATU PAHAT: Setiap kali musim hujan tiba, penduduk Sri Medan, Batu Pahat, Johor terpaksa berjaga malam kerana kawasan itu sering dilanda banjir.
Lebih malang, mereka mendakwa terpaksa menjadi penghuni pusat pemindahan sementara (PPS) bagi jangka waktu yang panjang gara-gara terpaksa berdepan banjir termenung pulak.
Banjir terburuk sejak tiga dekad
Sri Medan adalah salah satu daripada 78 lokasi banjir di Johor. Banjir besar pada Mac tahun lalu menjadi yang terburuk dalam tempoh 30 tahun, dengan air mencapai paras 1.5 meter, menyebabkan kerosakan besar pada harta benda, ternakan, dan rumah kediaman.
Namun, meskipun cuaca kembali cerah, penduduk masih dihantui oleh masalah banjir termenung yang berlarutan.
Keadaan ini didakwa berpunca daripada sistem perparitan yang gagal diselenggara dengan baik dan berkesan.
Akibatnya, ada penduduk terpaksa mencari alternatif seperti menyewa rumah inap desa atau menumpang di rumah saudara-mara kerana enggan terkandas lebih lama di pusat pemindahan sementara (PPS).
Terpaksa tinggal di PPS berbulan lamanya
Pengerusi Masjid Jamek Kampung Warijo, Khamsani Simon, berkata banjir termenung menyukarkan kehidupan penduduk yang terpaksa tinggal di PPS hingga tiga atau empat bulan.
“Pihak berkuasa tempatan perlu bertindak segera bagi menyelesaikan isu ini kerana ia menjejaskan kehidupan harian dan ekonomi penduduk,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Sam Anagin menceritakan pengalamannya terkandas di PPS selama hampir sebulan.
“Kawasan saya paling teruk terkandas di PPS lebih 21 hari gara-gara banjir termenung. Cuaca dah baik tapi kawasan rumah saya masih digenangi air, saya tak boleh balik dan pelbagai barangan semua rosak kerana tenggelam banjir,”ujarnya.
Perniagaan terpaksa ‘gulung tikar’ akibat banjir termenung
Lebih malang ada di kalangan pengusaha tempatan seperti Nur Hidayah Sarjani yang mengusahakan projek tapak semaian benih pokok terpaksa gulung tikar selepas lebih 15 tahun mengushakan projek berkenaan.
“Perniagaan saya ditutup selepas kilang tapak semaian ditenggelami air hampir sebulan. Semua benih pokok mati dan semua jentera yang ditenggelami banjir, dan berkarat sehingga tidak dapat digunakan,” tegasnya.
Langkah penyelesaian jangka pendek
Keluhan itu kami ajukan kepada Pengarah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Johor, Azren Khalil.
Katanya, langkah jangka pendek seperti menyediakan 30 pam air bergerak telah diambil untuk mengepam air banjir termenung keluar ke saliran.
Selain itu, peruntukan khas disediakan bagi menyelenggara parit dan sungai yang sering dilanda banjir.
Untuk jangka panjang, kerajaan pusat meluluskan RM1.6 bilion untuk tujuh projek tebatan banjir di Johor.
“Projek ini dijangka siap pada 2027, lebih awal daripada jadual asal 2029. Kami yakin masalah banjir, termasuk banjir termenung, akan dapat diatasi,” katanya ketika dihubungi kru Aduan Rakyat.
Melihat kepada isu yang menyelubungi penduduk di Sri Medan, beliau yakin apabila projek tersebut siap kelak, masalah banjir di kawasan tumpuan termasuk isu banjir termenung, akan dapat diselesaikan.
Kongsikan aduan anda bersama kami. E-melkan aduan lengkap beserta nombor telefon untuk dihubungi ke [email protected].
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.