SABAK BERNAM: Klinik Kesihatan Parit Baru di Jalan Masjid Kampung Parit Baru, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 3.49 pagi.
Katanya, sepasukan 29 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan dan Hutan Melintang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah klinik desa jenis bangunan setingkat.
“Kerja-kerja mengawal dan memadam kebakaran berakhir jam 4.23 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa dengan anggaran kemusnahan kira-kira 70 peratus.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook memaklumkan Klinik Kesihatan Parit Baru akan ditutup operasi bermula hari ini hingga tarikh diberitahu kelak.
“Semua pesakit yang ingin mendapatkan rawatan boleh pergi ke Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar.
“Bagi pesakit ibu dan anak pula masih boleh mendapatkan rawatan di Klinik Desa Teluk Rhu,” katanya.-BERITA HARIAN