Tumpuan :
Tular

KPDNHEP Siasat Video Kenderaan Singapura Isi Minyak RON95

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura dirakam orang awam di sebuah stesen minyak dekat Gelang Patah di sini, dipercayai menggunakan bantuan kenderaan tempatan untuk mengisi petrol RON95.

Video yang dimuat naik di YouTube oleh SG Road Vigilante, pada tiga hari lalu itu memaparkan seorang lelaki berbaju hitam sedang mengisi minyak kenderaannya dan nozel yang dipegang adalah berwarna kuning iaitu minyak petrol RON95.

Bagaimanapun, nozel berwarna kuning itu adalah nozel bagi pam bersebelahan yang ketika itu terdapat kenderaan bernombor pendaftaran tempatan di pam itu.

Lelaki itu dipercayai mengembalikan nozel kuning itu selepas selesai mengisi minyak dan mengambil semula nozel berwarna hijau iaitu RON97 dan ‘berlakon’ mengisi minyak.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro ketika dihubungi berkata, kejadian itu kini dalam pengetahuan pihaknya dan siasatan sedang dijalankan.

“Kita sudah membuat pemeriksaan ke atas stesen minyak itu dan kini masih di peringkat siasatan,” jawabnya ringkas.

Beliau kemudian meminta orang awam sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak KPDNHEP mengenai sebarang salah laku yang berkaitan.

Aduan boleh disalurkan, antaranya menerusi e-mel ke [email protected], talian aduan WhatsApp 019-2794317 atau talian bebas tol 1-800-886-800.

Penjualan petrol RON95 adalah dilarang bagi kenderaan nombor pendaftaran asing.

Pemilik stesen minyak yang didapati gagal memantau penyalahgunaan petrol RON95 boleh disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini