comscore
Tumpuan :
Tular

Gunung Berapi Lumpur Di Tabin, Lahad Datu Meletus

KOTA KINABALU: Gunung berapi lumpur di Taman Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu meletus dan memuntahkan lumpur dalam jumlah yang banyak semalam.

Fenomena yang jarang berlaku itu tular di media sosial malam ini tadi dipercayai selepas dimuat naik oleh individu yang kebetulan berada berhampiran lokasi gunung berapi lumpur terbabit.

Video fenomena itu kemudian dikongsi netizen di laman Facebook masing-masing dengan kebanyakan komen menyuarakan ketakjuban mereka terhadap fenomena berkenaan.

Tidak kurang juga yang mengaitkan fenomena itu dengan kemungkinan berlaku gempa bumi memandangkan kejadian gegaran semula jadi sudah menjadi perkara biasa di Sabah terutama selepas gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada 2015.

Bagaimanapun, pakar geologi Sabah Prof Dr Felix Tongkul ketika dihubungi berkata fenomena letusan gunung berapi lumpur itu adalah perkara biasa yang berlaku apabila tekanan lumpur dalam bumi meningkat dan perlu dilepaskan.

“Keadaan ini berulang bila tekanan terkumpul pada sesuatu masa tertentu. Kejadian volkano lumpur seperti ini (lebih aktif) kadang-kadang berlaku semasa kejadian gempa bumi,” katanya menerusi Whatsapp.

Kewujudan gunung berapi lumpur bukan sesuatu yang baharu di Sabah, malah selain di Tabin, ia juga boleh ditemui di daerah lain dengan antara yang popular di Taman Pulau Tiga, Kuala Penyu.

Malah, Pulau Tiga yang kini menjadi tarikan pelancongan di Sabah dikatakan terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi lumpur pada 1897 berikutan gempa bumi di Mindanao, selatan Filipina. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini