BALING: Mayat wanita hamil dan ibu mentuanya yang dihanyutkan kepala air dari rumah mereka ditemukan dalam keadaan berpelukan.
Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil empat bulan itu ditemukan bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, pada jam 9.30 pagi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.
Kedua-dua mangsa ditemui anggota bomba di bawah timbunan batang pokok berhampiran Sungai Iboi.
Tempat mangsa dijumpai dengan lokasi rumah mereka sejauh kira-kira 100 meter.
Manakala mayat Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, pula ditemui 11.55 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, kedua-dua mayat mangsa ditemukan dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan berpelukan serta tiada kesan kecederaan luaran.
“Kita mengeluarkan mayat pertama iaitu Nurul Anis diikuti ibu mertuanya, Salmah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurutnya, seorang lagi mangsa iaitu Khairul Ikwan Nor Azam, 14, masih belum ditemui.
“Mangsa adalah daripada keluarga sama iaitu anak kepada Salmah dan operasi pencarian mangsa sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Sementara itu, kata beliau, pasukan penyelamat telah berjaya menyelamatkan 155 mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir kilat dengan 270 lagi penduduk diselamatkan orang awam,” katanya.