DUNGUN : Murid yang hilang ketika mandi bersama lima rakan di Sungai Dungun dekat Kampung Rajawali di sini, petang semalam, ditemukan lemas pagi ini.
Mayat Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, ditemukan oleh lima ahli keluarganya yang melakukan pencarian dasar sungai bersama anggota bomba dan polis, jam 2.30 pagi.
Menurutnya, pencarian itu berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 12 meter dari tempat mangsa dilaporkan tenggelam.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian ,”katanya.
Dalam kejadian petang semalam, Abdul Rafiuddin bersama empat rakannya, Muhammad Qhalish Iman Hazimi, 12; Muhammad Aqil Shafie, 12; Wan Adip Hakimi Wan Ahmad Khairuddin, 12; dan Raja Muhamad Anas Raja Ibrahim, 12; mandi di sungai itu, kira-kira 6 petang.
Selain Raja Muhammad Anas, mereka berempat kemudiannya berjalan untuk bermain di atas tebing pasir di situ dalam jarak kira-kira 30 meter dari darat.
Kesemua mereka bertindak berenang selepas air sungai secara tiba-tiba naik, sebelum Abdul Rafiuddin dan Muhammad Qhalish lemas.
Muhammad Qhalish berjaya diselamatkan dua rakannya itu, namun Abdul Rafiuddin gagal diselamatkan sebelum mangsa tenggelam ke dasar sungai. – HARIAN METRO