Tumpuan :
Tragedi

Mangsa Terakhir Nahas Bot Karam Ditemui Tersangkut di Enjin Bot

BATU PAHAT: Mayat mangsa terakhir tragedi bot karam yang menyebabkan dua nelayan hilang di perairan Parit Hailam di sini 14 hari lalu, ditemui kira-kira 12 tengahari tadi.

Komander Operasi PPGB Othman Mohd Baher dari Balai Bomba dan Penyelamat Rengit, berkata mangsa, Chia Hock Neng, 60, ditemui kira-kira 500 meter dari pesisir pantai, Parit Botak Rengit, di sini.

Katanya, bagaimanapun mangsa yang tersangkut di bahagian enjin bot hanya berjaya dinaikkan ke darat kira-kira jam 5 petang.

“Kami menerima panggilan daripada pihak polis berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikesan berada di kedudukan enjin bot.

“Kemudian pada jam 2.30 petang, selepas pemantauan dan penilaian dilakukan, operasi menaikkan mangsa tidak dapat dilakukan kerana faktor keselamatan.

“Namun pada jam 2.45 petang, bomba melakukan usaha SAR sehabis baik sehinggalah jam 5 petang, apabila Pasukan Keluaran Operasi berjaya menaikkan mayat mangsa yang tersangkut di bahagian enjin.

“Keadaan tubuh badan mayat yang ditemui masih sempurna dan berpakaian lengkap, kemudian diserahkan kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat untuk tindakan lanjut, ” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, seramai 13 anggota PKO dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Kluang dan dua anggota PKO BBP Ayer Hitam dan tiga anggota PPDA Skudai bersama aset termasuk bot terbabit dalam operasi berkenaan.

“Operasi tamat pada jam 5.45 petang,” katanya.

Terdahulu, Te Chia Rong, 38, seorang daripada dua nelayan tempatan hilang selepas bot dinaiki karam ketika keluar menangkap ikan di perairan Parit Hailam di sini pada Rabu, ditemui lemas pada 19 September lalu.– BERITA HARIAN

Loading...
Terkini