Tumpuan :
Tragedi

Empat Rumah Dihempap Pokok, 20 Penghuni Berdepan Detik Cemas

MELAKA: Empat rumah termasuk sebuah inap desa di Taman Seri Telok Mas, di sini, dihempap pokok tumbang akibat ribut, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu mengakibatkan kira-kira 20 penghuni berdepan detik cemas selain tiga kenderaan turut terjejas.

Mangsa Tan Hock Siang, 48, berkata, ketika kejadian selain ribut dan hujan lebat, angin juga amat kuat sehingga menyebabkan pokok besar di hadapan rumahnya tumbang.

“Saya tersedar sebaik isteri kejutkan dan keadaan agak takut dengan angin dan ribut sebelum tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat.

“Ketika itu juga air hujan sudah masuk ke dalam rumah melalui siling dan membasahi ruangan hadapan. Malah dahan dan ranting pokok sudah menutupi bahagian garaj,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Telok Mas, hari ini.

Katanya, dia dan penduduk amat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dengan menyelenggara pokok-pokok dibahu jalan berdekatan dengan kediaman.

“Kita beli rumah untuk berehat dengan senang hati tetapi apabila kejadian seperti ini, saya rasakan rumahpun seakan tidak selamat untuk tinggal,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohamad Rizuan Zainal Abidin, 39, berkata, dia tidak sangka pokok sebesar dua pemeluk dewasa di hadapan rumah sewanya akan tumbang.

“Saya bangun kira-kira 4 pagi untuk buat teh dan siapkan barangan jualan tetapi tidak sangka lain pula terjadi. Mujurlah kereta hanya sikit sahaja dan rumah pula babitkan bahagian depan.

“Keadaan ketika itu agak huru hara, anak-anak ketakutan kerana hujan amat lebat berserta angin kuat dan ribut ditambah pula air memasuki ruangan rumah membuatkan mereka lagi cemas,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, susulan kejadian hujan lebat dan ribut awal pagi tadi sebanyak 44 kediaman masing-masing 40 di daerah Alor Gajah dan empat di Melaka Tengah, terjejas selepas berlaku banjir kilat namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Loading...
Terkini