PUTRAJAYA: Atlet Terengganu, Syahida Asyiqin Rusli meraih detik manis pada penampilan pertamanya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 apabila meraih pingat emas dalam acara K1 500 meter (m) wanita sukan kanu, di sini, hari ini.
Lebih manis, Syahida berjaya memadam rekod kebangsaan dilakukan Aimi Ayuni Azwan iaitu 2 minit 9.80 saat (s) pada Kejohanan Remaja Dunia ICF tahun lalu dengan catatan baharu, 2:08.362s.
“Memang di luar jangkaan (rekod kebangsaan) kerana saingan begitu sengit memandangkan ada lawan yang pernah beraksi di Sukan SEA. Jadi saya tak sangka boleh melakukannya.
“Ini adalah penampilan kali pertama saya, jadi saya memang tak jangkakannya,” kata Syahida ketika ditemui selepas turut membantu pasukan K4 Terengganu meraih pingat perak.
Syahida bersama rakan sepasukan disertai Anis Unaizah Mat Su, Nur Fatin Nadirah Mohd Sabri dan Saidatul Balqis Yusaimi mencatat masa 1:57.063s manakala pasukan Johor (Farah Zulaika Tokiman, Norkiasah Zaenuddin, Nur Syahirah Fuad dan Nurul Najieha Zulkifli) meraih emas, dengan catatan 1:55.784s.
Gangsa dimenangi Wilayah Persekutuan yang disertai Aisyah Farhanah Azwan, Marina Muzaffa, Mas Aisyah Maisarah Mas Irhan dan Roqaiyah Nor Amran dengan catatan 1:57.291s.
“Untuk K4, saya tak puashati walaupun sudah berusaha sebaik mungkin, tapi itu juga rezeki buat kami,” kata Syahida,18, yang selepas ini mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran di pusat pengajian tinggi swasta.
Sementara itu, hari kedua sukan kanu yang mempertaruhkan enam emas di Kompleks Sukan Air Putrajaya menyaksikan Wilayah Persekutuan membolot tiga emas menerusi acara K1 500m lelaki, K2 500m wanita dan K4 500m lelaki.
Johor yang menguasai hari pertama semalam, meraih dua emas menerusi K2 500m lelaki dan K4 500m wanita manakala Terengganu meraih satu emas menerusi K1 500m wanita.
Daripada enam emas itu, empat rekod kebangsaan termasuk dilakukan Syahida berjaya dilakukan iaitu K2 500m wanita, K2 500m lelaki dan K4 500m lelaki. – BERITA HARIAN