Tumpuan :
Sukan

SUKMA MSN 2022 : Andre Anura Terus Rentak Cemerlang

Atlet olahraga kebangsaan, Andre Anura Anuar berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara lompat kijang lelaki.

BUKIT JALIL : Atlet olahraga kebangsaan, Andre Anura Anuar terus tampil dengan persembahan memukau apabila berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara lompat kijang lelaki.

Atlet berusia 23 tahun itu nyata berada dalam kelas tersendiri selepas membuat lompatan sejauh 16.43m, sekaligus meraih emas kedua peribadi selepas turut cemerlang dalam acara lompat jauh.

“Untuk SUKMA kali ini, saya dapat sumbang dua emas, mungkin ini tanda terima kasih saya kepada negeri Sabah sebab banyak bantu saya dalam karier saya, ini salah satu hadiah daripada saya.

“Saya sebenarnya tidak menjangka dapat lompat lebih 16m balik, apa yang saya sasarkan untuk acara lompat kijang, saya nak kekalkan emas yang saya menangi pada 2018, Sukma kali ini saya sasarkan untuk kekalkan emas itu,” katanya.

Sementara itu dalam acara merejam lembing wanita, atlet Sarawak, Ng Jing Xuan ceria merangkul emas selepas melakar catatan sejauh 43.45m.

Ia dilakukan pada rejaman pertama, mengecewakan pemenang pingat perak, J. Pavithraa Devi dari Pulau Pinang yang hanya mencatat jarak 43.42m.

Jing Xuan berjaya memperbaiki kedudukan tangga kelima yang diraih pada temasya Sukma 2018 di Perak.

Pingat gangsa pula menjadi milik rakan senegeri, Farisha Athirah Wai menerusi catatan 39.93m.

Loading...
Terkini