KUALA LUMPUR: Laungan Johor untuk muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 terus bergema apabila kontinjen itu mencapai sasaran 50 pingat emas, semalam.
Menerusi 46 pingat emas yang ditawarkan, 15 daripadanya dirangkul kontinjen Johor sekali gus menjadi pemangkin kepada kutipan jumlah pingat tertinggi selain bukti penguasaan mereka bergelar pendahulu keseluruhan SUKMA sukar digugat.
Berbeza dengan kontinjen lain hanya meraih maksimum lima pingat emas semalam, Johor terus memberikan amaran bahawa lebih banyak pingat akan dituai berbaki tiga hari lagi sebelum temasya SUKMA menutup tirai.
Sukan kanu paling menceriakan kontinjen Johor apabila tujuh pingat emas disumbangkan, diikuti sukan menembak dua pingat emas.
Turut menyumbang emas buat Johor adalah masing-masing satu daripada judo, akuatik renang, berbasikal trek dan angkat berat (1).
Tatkala Johor dengan kutipan pingat emas itu, kontinjen lain tidak kurang hebatnya apabila Pahang mendominasi sukan menembak di Lapang Sasar Menembak Nasional, Subang.
Sebanyak enam pingat emas ditawarkan di venue itu, empat daripadanya berjaya disambar oleh skuad lelaki menerusi acara pistol 25meter (m) individu dan berpasukan, 50m Rifle Prone individu dan berpasukan.
Berdasarkan kedudukan pingat emas semalam, Johor kekal mendahului dengan 50 pingat emas jauh meninggalkan Terengganu (26) dan Wilayah Persekutuan (22).
Hari ini, sebanyak 52 pingat emas bakal menjadi rebutan semua kontinjen dengan 14 daripadanya mengambil tempat di Plaza South City, Seri Kembangan bagi sukan muay thai.
Sementara tujuh pingat ditawarkan sukan judo di Dewan Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam selain menyaksikan sukan pencak silat membuka tirainya hari ini, menawarkan tujuh pingat emas di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.
– BERNAMA