JOHOR BAHRU: Dua gol yang dijaringkan Arif Aiman Hanapi ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Negeri Sembilan FC 5-0 pada aksi Liga Super malam tadi, harus memberi pengertian mendalam buat dirinya.
Apa tidaknya, dua gol itu bukan setakat membantu JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut tetapi turut menamatkan kemarau jaringan dalam liga sejak bersama JDT tiga musim lalu.
Ini kerana sepanjang berada dalam kesebelasan utama, pemain berusia 20 tahun itu belum pernah meledak gol pada saingan liga.
Arif Aiman membuat penampilan pertama bersama JDT pada 14 Mac 2020 ketika menentang FELDA United dalam saingan Liga Super musim 2020 dan bermula pada detik itu dia yang juga graduan Akademi JDT terus diberi kepercayaan sepenuhnya oleh bekas jurulatih JDT iaitu Benjamin Mora untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Walaupun saya pernah jaringkan gol ketika saingan Piala FA termasuk ketika final Piala FA tapi pada saingan Liga Super sejak saya menyertai JDT dua gol yang terhasil malam ini (malam tadi) sememangnya mengujakan.
“Bayangkan ketika musim 2020 dan 2021 bersama JDT beraksi di pentas liga elit domestik, saya tidak pernah jaringkan gol, sebaliknya kerap melakukan `assist’ kepada rakan sepasukan mencipta gol.
“Dan lebih manis dua gol yang dijaringkan itu membantu JDT menang besar sekali gus memastikan kita juara liga.
“Ia juga memberi lebih keyakinan buat saya untuk berusaha menjaringkan lebih banyak gol tapi dalam bola sepak kita beraksi dalam satu pasukan, jadi saya tidak kisah dapat jaringkan gol atau tidak yang penting setiap gerakan dan lorongan bola kepada rakan mampu diterjemahkan dengan jaringan,” katanya.
Ditanya mengenai kejayaan kali ketiga kejuaraan liga buat pemain yang dianggap `Wonder Kid’ dalam skuad bimbingan Hector Bidoglio, pemain bertubuh kecil namun begitu licik di padang itu menegaskan ia amat bermakna buat dirinya.
Dia juga mengakui baki empat perlawanan sememangnya cukup getir walaupun JDT sudah sah bergelar juara liga kerana mahu memastikan rekod tanpa kalah sepanjang saingan liga pada musim ini kekal sehingga berakhir saingan.
“Kami perlu harungi empat lagi perlawanan yang saya anggap begitu sukar apabila berdepan Kedah pada dua perlawanan timbal balik selain menentang Sri Pahang FC dan aksi terakhir menentang Sabah FC dan pasukan lawan pasti mengintai peluang untuk memecah rekod tanpa kalah JDT.
“Apapun, sepanjang tiga musim saya berterima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang nampak bakat saya ketika bersama JDT II untuk diserapkan ke skuad senior dan saya akan beri yang terbaik malah mahu terus membantu JDT mengecapi kejayaan merangkul banyak lagi piala,” kata Arif Aiman.