BANGI: Semangat Hari Malaysia dizahirkan penduduk Seksyen 5, Bandar Bukit Mahkota dengan mengelilingi kawasan kejiranan itu di sini, hari ini.
Sambutan Hari Malaysia disambut meriah dengan pelbagai peringkat komuniti dan umur turut menyertainya.
Dikenali sebagai program ‘Fun Walk Hari Malaysia’ ia disertai kira-kira 200 orang.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 5 Talib Hashim, program ‘Fun Walk’ sempena Hari Malaysia itu dilaksanakan untuk mengeratkan ikatan kejiranan dengan semangat kenegaraan.
“Program yang pertama kali diadakan ini mendapat sokongan penuh penduduk yang turun seawal jam 7 pagi bersama keluarga masing-masing,”ujarnya.
Menurut Pengarahnya Zairul Nazim, program tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, taklimat sebelum berjalan kaki beramai-ramai dengan membawa Jalur Gemilang dan berpakaian busana Melayu itu melibatkan jarak 3.4 kilometer.
“Kami berjalan dengan diiringi motor berhias bendera Malaysia yang memutarkan lagu-lagu patriotik melalui pembesar suara,” ujarnya.
Rata-rata penduduk yang ditemui menyambut baik program tersebut dan mahu ianya diadakan lagi pada masa akan datang.