comscore
Tumpuan :
Santai

Hari Malaysia: Disambut Dengan Riadah Mendaki Ke Puncak Angin

Oleh Kumaran Rajamoney

BANDAR BAHARU: Lebih 150 peserta dari agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti setempat di Bandar Baharu meraikan Hari Malaysia, dengan aktiviti mendaki Bukit Angin.

Program yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Pejabat Penerangan serta Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu itu menerapkan kepentingan riadah sebagai intipati penting sambutan pada tahun ini.

Program itu bermula seawal jam 8.30 pagi, dengan kesemua peserta perlu mendaki laluan yang mencabar sejauh 2.6 kilometer untuk menjejakkan kaki di destinasi akhir.

Di Puncak Angin ini, peserta dapat melihat pemandangan tiga negeri bersempadan iaitu Bandar Baharu di Kedah, Parit Buntar di Perak dan Nibong Tebal di Pulau Pinang.

Pesara kerajaan, Selvakumaran Karupaya, 62 tahun berpendapat, program itu adalah cara terbaik memperkenalkan aktiviti mendaki dikalangan generasi muda.

“Sebenarnya aktiviti mendaki ini masih belum diminati sepenuhnya oleh anak muda dan perlu dihebahkan. Saya bersara dua tahun lalu, dan masih sihat kerana terlibat aktif dalam aktiviti pendakian.”

“Aktiviti mendaki ini memberikan ketenangan kepada kita selain dapat menikmati suasana nyaman seperti yang dapat dinikmati di Puncak Angin ini,”katanya.

Pegawai Kesihatan Daerah Bandar Baharu, Dr Rozainah Abu Talib pula melihat aktiviti mendaki sempena sambutan Hari Malaysia mampu membentuk generasi masa hadapan yang sihat.

“Ianya sukan yang tidak mahal, dan mampu membina stamina badan kita. Sambutan Hari Malaysia dalam bentuk riadah ini adalah pendekatan bijak dalam usaha untuk kita memberikan kesedaran tentang sukan dan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor mahu daerah itu terus dibangunkan dengan lokasi eko-pelancongan, yang saling menyokong diantara satu dengan yang lain.

“Kita dikenali dengan durian premium, udang galah dan pelbagai ikan sungai. Kita mahu perluaskan eko-pelancongan ini kepada peminat sukan lasak.”

“Kita sudah ada aktiviti pendakian, serta sukan permotoran lereng bukit. Terbaru, saya dimaklumkan ada cadangan dari kumpulan “paraglider” untuk menjadikan Puncak Angin ini sebagai lokasi pelepasan mereka,” katanya.

Acara ini adalah yang julung kali dianjurkan di Puncak Angin, yang merupakan lokasi terbaharu eko-pelancongan di daerah itu.

Loading...
Terkini