Tumpuan :
Politik

UMNO Dan PAS Mampu Rampas 20 Kerusi PH Jika Muafakat -Khairuddin

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR: Permuafakatan PAS dan UMNO dilihat berupaya merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tahun ini.

Daripada jumlah itu, enam kerusi di Kedah membabitkan Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Padang Serai.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata empat kerusi di Pahang iaitu Raub, Temerloh, Bentong dan Kuantan, manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar dan Kuala Langat di Selangor.

Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata turut berupaya ditawan adalah tiga kerusi Parlimen di Perak iaitu Parit Buntar, Lumut dan Tanjung Malim, selain Tampin di Negeri Sembilan; Tangga Batu di Melaka dan Kangar di Perlis.

“Dari sudut politik pilihan raya, sekurang-kurang berundinglah pada 20 kerusi yang dimenangi oleh PH sekarang yang dengan undi bersama PAS dan UMNO boleh memenangkan PAS atau UMNO.

“Selamat bermuafakat dan berunding,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Mohd Khairuddin berkata Muafakat Nasional (MN) kembali diperkasakan apabila PAS secara tiba-tiba menghulurkan tali untuk mengeratkan kembali persahabatan dengan UMNO menerusi kunjungan hormat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata UMNO juga telah menyambut usaha terbaru ini dengan sehangatnya, malah ahli kedua-dua parti diarahkan untuk gencatan senjata.

“Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) juga mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan siapa pun mengeluarkan kenyataan melainkan dengan izin Presiden demi menjaga hubungan baharu ini agar tidak tercalar lagi.

“Perpaduan ini mesti diusahakan malah wajib diusahakan demi kepentingan Islam Melayu di tanah air tercinta ini. Cukuplah 44 tahun ahli keluarga sendiri terpisah akibat perbezaan fahaman politik sejak 1978 khususnya di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Sampai masanya generasi baharu kedua parti Islam Melayu ini bersaing menawarkan dasar pentadbiran dan manifesto siapa yang terbaik di arena politik pilihan raya secara sihat, damai, matang dan sejahtera tanpa serang-menyerang peribadi, gelar-menggelar yang buruk dan tuduh-menuduh yang mencarikkan persaudaraan.

“Inilah yang diajar dan dan dididik oleh Islam. Tinggalkan politik mengungkit cerita lama yang mencarikkan persahabatan yang sudah lapuk di telan zaman,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini