PUTRAJAYA: PAS tidak patut dipaksa memilih rakan politik untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu berpendirian perlu ada penyatuan ummah di antara semua parti politik yang mewakili masyarakat Melayu Islam, termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Beliau berkata, semua pihak perlu melihat kestabilan politik masa depan terutama ketika negara berdepan situasi ekonomi, bebanan kos sara hidup serta COVID-19.
Katanya, keutamaan perlu diberikan dalam menangani situasi berkenaan.
“Tetapi kestabilan perlu ada muafakat politik. Tanpa muafakat politik, kita fikir pengalaman kita sebelum ini akan berulang.
“Saya fikir tidak boleh (diberikan) ultimatum (amaran terakhir) tapi kena tengok masa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Berikutan itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS bersedia berbincang dengan UMNO dan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk BERSATU bagi mencapai permuafakatan politik.
Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa lalu BERSATU tidak akan bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Tuan Ibrahim berkata, PAS mempunyai sejarah berlawan lebih lama berbanding BERSATU.
Katanya, beliau yakin kedua-dua pihak masih mempunyai ruang untuk berbincang.
“Dua-dua perlu duduk bersama kerana sebahagian besar pemimpin BERSATU bekas pimpinan UMNO.
“Kalau kira sejarah politik PAS lebih lama berlawan dengan UMNO dibanding dengan BERSATU. Saya fikir ada ruang untuk duduk berbincang.
“Kita perlu adakan perjumpaan dan tidak menjadikan media sebagai medan,” katanya.
Biarpun PAS dituduh memilih jalan selamat dengan ‘bermain di dua kolam’, Tuan Ibrahim berkata, semua pihak bersetuju dengan gagasan penyatuan ummah.
Selain itu, katanya, rakyat juga mahu melihat perkara yang sama.
“Kita perlu kestabilan politik bukan soal dua kolam atau tiga kolam. Yang penting peranan berusaha mendamaikan kedua-dua pihak, bagi penyatuan ummah,” katanya.
Semalam, media melaporkan PAS dijangka memuktamadkan keputusan berhubung isu kerjasama dengan UMNO atau BERSATU.
Memetik Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin sebagai berkata, Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Muhyiddin.
Beliau berkata, perkara itu sedang dibincangkan dalam parti. -BERITA HARIAN