NIBONG TEBAL : Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang melakukan siasatan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, selepas menerima aduan penduduk berhubung pelepasan air larut resapan dari kolam takungan berhampiran sehingga mencemar persekitaran laut.
Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata kejadian itu disedari penduduk setempat petang semalam yang mendapati terdapat aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan seterusnya masuk ke laut.
Beliau berkata, susulan itu pihaknya pada hari sama bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan sebelum mendapati aduan yang diterima berasas.
“Siasatan mendapati, terdapat beberapa batang paip dipasang pihak tertentu untuk menyalurkan sisa air larut resap (leachate) ke kawasan rezab paya bakau.
“Siasatan hari pertama terpaksa ditamatkan sekitar jam 9.30 malam atas faktor keselamatan dan disambung hari ini.
“Pihak kita melakukan pemeriksaan fizikal di tapak, penerbangan dron dan mengambil sampel di beberapa lokasi untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa serta mengambil rakaman percakapan beberapa saksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Nibong Tebal untuk siasatan sama ada terdapat unsur khianat oleh pihak tertentu dalam kejadian itu.
Sharifah Zakiah berkata, pihaknya memandang serius isu pencemaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah itu memandangkan beberapa insiden kebakaran sebelum ini menjejaskan kesejahteraan orang awam.
“Berdasarkan maklumat awal dan keterangan saksi, pelepasan air larut resapan ini dipercayai dibuat secara sengaja dan dirancang lebih awal kerana batang paip dibawa masuk, dipasang dan ditanam selepas perbuatan mereka dilaporkan kepada JAS.
“Pihak kita akan mengeluarkan satu Notis Arahan kepada pemilik tapak iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan serta kawalan pencemaran di tapak.
“Mana-mana premis yang tertakluk di bawah Perintah EIA (laporan penilaian impak alam sekitar) dan didapati gagal mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 boleh dikenakan Arahan Berhenti Kerja,” katanya. -BERITA HARIAN